Sunday, August 16, 2009

Arigato!teman-teman jihadku:)

14 Ogos 1986?
Entah kenapa sukar sekali saya mengingati 14 Ogos sebagai tarikh hari lahir saya. Seperti yang pernah saya khabarkan dalam antara entri terawal saya yang bertajuk "23 Tahun Hari-Hari Dalam Hidupku", hakikatnya saya lebih suka mengira umur saya mengikut tahun Hijri. Telah terbukti dari kaedah saintifiknya pengiraan dalam tahun Hijri atau bulan Islam lebih tepat berbanding tahun Masihi.


8 Zulhijjah 1406H?
Justeru seharusnya saya menyedari tanggal 8 Zulhijjah tahun ini umur saya bakal meningkat kepada 24 tahun. Saya mula rasa lebih dewasa. Kadang-kadang saya mohon maaf pada emak dan ayah tatkala memikirkan ketika usia begini saya masih lagi di bawah tanggungan mereka. Namun adakalanya saya rasa amat bersyukur dalam usia ini jugalah saya masih boleh menuntut ilmu tanpa memikirkan bebanan kerja-kerja di pejabat.

Kematian yang menghampiri
Masa makin pantas berlalu, sedetik bertambahnya usia semakin hampirlah ajal saya bertamu. Tiada yang lebih saya harapkan, moga syahid jadi jalan untuk saya bertemu Tuhan. Kalau yang suka bertanya tentang jodoh, biar saya katakan pernikahan atas dunia itu belum pasti bagi setiap insan, namun kematian itu suatu perkara wajib yang setiap dari kita perlu hadapinya. Oleh itu persediaan mana yang perlu diberi keutamaan? Bukanlah saya ini berhati batu tidak berperasaan.. Tapi pengalaman sudah cukup memberi pengajaran.

Terima kasih daun keladi, ada rezki buatlah lagi:)
Untuk akhirnya, terima kasih daun keladi buat sahabat-sahabat yang bersusah payah memainkan watak dalam menjayakan misi membuat dua kejutan besar. Juga pengirim-pengirim mesej yang memenuhi inbox saya. Mari kita berdoa agar hari-hari yang bakal kita lalui menjanjikan keredhaan Allah buat kita semua.

Di jalan dakwah kita berukhwah,
Bertemu berpisah kerana Allah,
Moga pertemuan abadi di syurgawi,
Menjanjikan pertemuan yang kekal abadi,
Salam semulia jihad!
Sayang antunna keranaAllah semata..

Monday, August 10, 2009

Dari alumni ALAM




Saya tidak pasti mengapa akhir-akhir ini pelbagai tohmahan suka dilemparkan kepada Kelab Al-azhar Members (ALAM). Tidak cukup dengan khabar angin, perkataan-perkataan biadab lagi melampau pula datang menyerang blog HAWA ALAM. Jujurnya saya kesali perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan terkutuk ini. Sepanjang pemerhatian saya, ia berlaku bagai dirancang. Oh!Itu sekadar hipotesis awal saya, jangan ada yang menuduh saya cuba mencipta provokasi jauh sekali meraih simpati.

Saya mahu berbicara atas kapasiti alumni ALAM. Ditengah-tengah kekalutan pihak-pihak tertentu yang cuba memburukkan ALAM, suka untuk saya ucapkan jutaan tahniah kepada saf kepimpinan ALAM terkini. Sungguh, saya melihat terlalu banyak perubahan yang lebih baik dan gerak kerja yang lebih konsisten telah dilakukan oleh pihak ALAM sekarang, dalam usaha mempertahankan biah solehah di bumi KUIS khususnya.

Semoga barisan kepimpinan ALAM terus berusaha mengerah keringat tanpa mengenal erti putus asa dalam memastikan keberlangsungan dakwah Islam terus subur di bumi KUIS.

Kepada mana-mana pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati terhadap gerak kerja yang dilakukan pihak ALAM, saya mencadangkan adalah lebih baik untuk anda tampil memberikan komentar dengan cara terhormat terhadap pimpinan ALAM, namun bukan dengan cara yang tidak bertanggungjawab ibarat orang membaling batu lalu menyorokkan tangannya.

Thursday, August 6, 2009

Pemuda Umno Jangan Dangkal




Pemuda Umno dinasihatkan agar tidak bersifat dangkal. Hal ini berikutan seruan Pemuda Umno yang meminta agar peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur membuat tindakan undang-undang terhadap Gerakan Mansuhkan ISA.

Realitinya perhimpunan mansuhkan ISA 1 Ogos yang lalu mampu memberikan peluang kepada para peniaga di Kuala Lumpur untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda memandangkan perhimpunan aman itu telah disertai lebih enam puluh ribu orang.

Namun amat malang sekali, perhimpunan itu bertukar menjadi kucar kacir hingga menyebabkan banyak kedai-kedai ditutup lantaran sikap pihak polis dan FRU yang tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Justeru, pihak mankah yang wajar diambil tindakan undang-undang? Gerakan Mansuhkan ISA yang mengadakan himpunan aman, atau pihak polis dan FRU yang mencipta huru-hara dalam himpunan aman tersebut?