Sunday, May 10, 2009

Kisah kasih antara kita


Kalau orang lain mengatakan karakter animasi Doraemon adalah animasi yang paling digemari, namun bagi saya Doeramon bermata bulat itu pula meninggalkan kesan yang tidak menyenangkan diri. Kerana cerita Doeramon yang menipu itulah pada suatu hari saya, abang, dan adik telah terlewat menunaikan solat Maghrib dari kebiasaan. Akibatnya kami benar-benar mengundang kemarahan emak. Setelah peristiwa itu 'sayonara' bagi kami semua untuk menonton tv diwaktu Maghrib!


Emak bukanlah seorang ibu yang garang bagi saya. Sekalipun seumur hidup saya tidak pernah merasa pukulan emak. Cukup dengan nasihat dan teguran membina, kami adik beradik cepat mengkhadamkannya untuk diterjemahkan dalam perlakuan. Saya masih ingat sewaktu dibangku sekolah rendah emak sempat bertanyakan tentang hal-hal pelajaran kami ketika sibuk menghidangkan makanan tengah hari. Sedayanya emak mencuri waktu lantaran emak bukanlah suri rumah sepenuh masa.


Emak tidak pernah memaksa untuk kami mendapatkan yang terbaik dalam setiap keputusan peperiksaan mahupun pertandingan. Sifir emak mudah sahaja 'Mak tak marah kalau anak mak gagal, yang mak marah kalau anak mak tidak mahu berusaha'. Emak memotivasikan setiap anaknya lebih dari seorang pemotivasi.


Mak Long saya pernah menceritakan, dahulu sewaktu emak belum kahwin, rutin emak di malam hari adalah untuk mengurut kaki kedua arwah opah dan atok saya hingga mereka tertidur. Kagum dengan cerita itu, sesekali saya mempraktikkan pula kepada emak dan ayah saya, tetapi selalunya sayalah yang akan ' tersungkur' dahulu sebelum emak dan ayah tertidur.:)


Emak pernah memberitahu, emak terlalu kempunan untuk bersekolah agama, namun hasyrat itu terpaksa dikuburkan lantaran masalah kewangan yang menghimpit. Lalu ketujuh-tujuh anaknya, emak hantar belajar ke sekolah agama. Tatkala hampir kesemua anaknya memberikan alasan untuk tidak mahu meneruskan pengajian di sekolah agama, emak terus berdoa dengan penuh kesabaran agar anaknya sentiasa memperoleh kebaikan.


Saya sering mendengar rintihan emak di malam yang pekat, mengadu kepada Tuhan yang Satu, moga redha Allah buat kecintaan-kecintaan hatinya. Hati saya menjadi sayu. Suatu hari saya luahkan kepada emak mampukah saya menjadi seperti dirinya, emak jawab dengan tenang "Ikah tak boleh jadi macam mak, sebab Ikah boleh jadi lebih baik dari emak". Saya terkasima dengan jawapan itu, tulus dari hati seorang ibu, menerbitkan rasa kasih yang kian mendalam.." Mampukah aku? monolog itu saya biarkan tanpa jawapan, saya pujuk hati itulah harapan seorang yang bernama ibu..


Wahai Allah,

Saksikanlah,

Dia ibuku,

Solehah buat suaminya,

Mithali pada anak-anaknya,

Wahai Tuhan Pemilik segala sesuatu,

Kasihilah dirinya,

Seperti Engkau mengasihi para kekasihMu,

Wahai Allah,

Tak mampu ku balas jasanya,

Redhailah,

Redhailah,

Redhailah,

Dia..Ibuku

"Selamat Hari Emak" Terima kasih buat ayah yang telah memilih wanita yang baik buat anak-anaknya, kerana ketahuilah itu jua hak bagi seorang anak. .Kisah kasih antara kita.. Terima Kasih Allah!


No comments: