Sunday, May 17, 2009

Lebih dari seorang Mu'alim.

Sekiranya ada yang bertanya siapa guru pertama dalam hidup saya? Tentu saya akan memberi tahu, guru pertama saya ialah emak. "Selamat hari guru emak!". Terima kasih kerana telah bersusah payah mendidik diri ini sejak di alam rahim..Seterusnya buat ayah juga.

Cikgu Leha adalah nama guru tadika yang tidak boleh saya lupakan. Kesabaran beliau mendidik anak-anak muridnya menjadi inspirasi buat saya ketika saya mengajar di Pasti. Saya masih ingat ketika beliau bersusa payah menziarahi saya saat saya terlantar sakit di hospital. Selamat Hari Guru Cikgu!

Sewaktu di sekolah rendah Cikgu Soid menjadi guru kegemaran. Bagi saya beliau lebih dari seorang guru matematik. Acapkali saya tersasul memanggilnya dengan gelaran ustaz. Manakan tidak tazkirah ringkas adalah agenda utama sebelum beliau memulakan sesi pembelajaran. Selain itu Cikgu Soid mewajibkan anak-anak muridnya menulis tarikh dalam tahun hijriah. Paling menarik Cikgu Soid akan memberikan hadiah untuk anak-anak muridnya yang berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Selamat Hari Guru Cikgu!

Apabila saya berada di sekolah menengah seorang lagi guru telah mencorakkan kehidupan saya. Ustazah Rozaidah namanya. Saya terlalu kagum dengan kekentalan semangat perjuangannya. Saat suami beliau dalam tahanan cengkaman kerajaan Toghut saya melihat beliau semakin bertenaga menyampaikan risalah dakwah tinggalan Rasulullah. Selamat Hari Guru Ustazah!

Selamat hari guru juga buat semua pensyarah-pensyarah saya. Ustaz Abu Zaki yang sentiasa tenang memberikan nasihat.

Ummi Zharah yang menjadi teman saat saya mahu menunaikan solat subuh di masjid.

Ustaz Saifullah menyampaikan mauidzoh yang bisa menyegarkan iman saat ianyakelayuan.

Ustazah Hayati, ustazah Zinora, juga Ustaz Imran yang tidak pernah jemu saat saya minta untuk ditasmi' hafazan Quran.

Ustaz Misbah yang telah mengkhabarkan sejuta pengalaman untuk memotivasiakan diri.

Ustazah Farhah yang telah mengingatkan erti kehidupan pada sumbangan yang dilakukan kepada Islam.

Selamat hari guru untuk semua guru-guruku. Kalian sentiasa meniti dibibirku saat doaku panjatkan pada Rabbul 'Izzati. Ya kalian lebih dari seorang mu'alim..kerana kalain sang muraabi. Membawa aku untuk terus-terusan mencintai Tuhan. Terima Kasih Cikgu!

No comments: