Sunday, June 21, 2009

Tribut buat ayahandaku

Semasa saya kecil dahulu ayah pernah menguji saya,sayang emak lebih atau ayah? Saya jawab dua-dua. Lalu ayah tanya, banyak mana sayang itu? Jawab saya berjuta-jata lemon. Ayah dakap saya sambil tertawa dengan jawapan yang saya berikan.

Suatu hari ketika saya masih berada di bangku sekolah rendah ayah minta saya buatkan air teh untuk emak dan ayah. Saya berikan tiga cawan untuk emak, dan satu cawan buat ayah. Tanpa rasa serba salah saya khabarkan apa yang diajar oleh guru saya. Bahawa Nabi minta untuk menyayangi emak tiga kali ganda berbanding ayah. Emak dan ayah gelak bersama dengan tindakan saya, kemudian menerangkan dengan lebih jelas tentang hadith yang telah disamapaikan oleh guru saya.

Apabila saya sudah besar, saya pernah luahkan pada ayah kiranya melebihkan ibu berbanding ayah bukan perintah Rasulullah pasti saya akan menyayangi emak dan ayah sama rata. Ayah faham dan mengiyakan kata-kata saya.

Banyak minat saya menyamai minat ayah membaca, berkebun, bahkan hoki yang juga menjadi sukan kegemaran sewaktu saya berada di sekolah rendah turut saya warisi dari ayah. Orang selalu kata wajah saya juga mirip ayah. 'Anak ayah' ke saya ni.. ?:)

Apa yang pasti terlalu banyak jasa ayah yang tidak mungkin mampu untuk saya balasi. Tak terbilang, tak terhitung, dan tak tersebut. Saya banyak belajar erti ketabahan hidup dari insan bernama ayah. Ayah sudah tidak beribu sejak usianya baru mencecah empat tahun. Ayah benar-benar membesar dengan penuhh kesusahan.

Saya tak akan lupa apabila ayah mencabar untuk saya dan abang mencari duit sendiri untuk membiyai yuran PMR dan SPM. Kami ambil keputusan untuk menjual kurma, kismis, dan agar-agar di bazar Ramadhan. Alhamdulillah, kami berjaya membiyai yuran kami sendiri bahkan hasilnya lebih dari itu. Saya maklum, bukan ayah sengaja mahu susahkan anak-anaknya, tapi ayah mahu kami belajar hidup berdikari.

Love will never end.. Happy fathers day, thank you ayah..Love you so much!