Thursday, January 15, 2009

Salam Semulia Jihad

Salam Semulia Jihad,
Demo Kuis
Hari ini mahasiswa Kuis turun berdemonstrasi. Saya ucapkan tahniah kepada Al-Azhar Members (ALAM) selaku pihak penganjur demonstrasi bagi membantah kezaliman yang berlaku ke atas ummat Islam di Palestin. Namun, jauh di sudut hati saya tetap menyesali dengan sambutan yang masih belum boleh dikira memuaskan. Dari lebih lima ribu pelajar Kuis, kenapa hanya sejumlah itu sahaja yang turun berdemo? Dari ratusan pensyarah dan pekerja di Kuis ini, mengapa hanya beberapa orang sahaja yang turun berdemonstrasi?..Atau saya yang masih belum pandai untuk berbaik sangka? Ya! barangkali mereka punya kerja yang menuntut untuk mereka tidak sama-sama berdemonstrasi.

Masalah diri
Akhir-akhir ini, ramai orang sekeliling saya mula menegur. Kenapa saya sentiasa ceria, senyum dan senyum macam orang tidak pernah ada masalah. Lalu saya jawab dengan meneruskan senyuman. Mereka jadi keliru. Saya diam, dan saya paham bahawa mereka belum cukup memahami saya.

Teman yang memahami
Lalu takdir Allah memberi tahu bahawa teman-teman seperjuanganlah yang paling mengenali dan memahami saya. Mereka tahu bila saya terlalu banyak senyum, itu tanda saya sedang berdepan dengan pelbagai ujian. Mereka mula sibuk merungkai rahsia-rahsia yang saya pendam. Agak sukar untuk saya meluahkan, 'saya seorang pemendam tapi tak perlu risau kerana saya bukan pendendam.'

Kenapa senyum?
Kenapa saya senyum? Sebab saya selalu memikir dan memperlekeh diri betapa lemahnya jiwa, diuji dengan pekara kecil sudah terasa beban hidup yang besar, lalu iman saya mula membandingkan masalah-masalah kecil dan remeh yang asyik saya pikirkan, sedang banyak lagi pekara-pekara penting yang perlu saya beri fokus untuk kepentingan Islam yang saya cintai. Saya teruskan senyuman walaupun hati memendam kepahitan, mudah-mudahan ada pahala disisi Tuhan. Mungkin juga Allah mahu saya banyakkan sedekah dengan senyuman, maklumlah kekontangan wang membayar yuran. Maaf teman, bukan tidak mahu berkongsi segala kedukaan perasaan, tetapi cukuplah doa kalian sebagai penguat semangat perjuangan.

Undilah PAS
Esok, pilihan raya kecil di Kuala Terengganu bakal berlangsung, doa dan harapan moga Allah memudahkan kemenengan kepada yang mahu memperjuangkan agamaNya. Undilah Hj Mohd Abdul wahid Bin Endut, dari Parti islam Se Malaysia (PAS) dalam usaha kita mengurangkan satu lagi kerusi kezaliman kerajaan Barisan Nasional di Parlimen Malaysia.

Berangan
Oh ya! saya mula berangan, kalau BFK 8701 saya itu mampu sampai ke Terengganu, tentu sekarang saya sudah dalam perjalanan ke sana. Kalau BFK 8701 itu juga yang mampu membawa saya ke Palestin, akan saya ucapkan selamat tinggal kepada semua. Untuk jiwaku dan jiwamu salam perjuangan fi sabililllah!

Tuesday, January 13, 2009

Antara Dua Realiti; Pemandom Dan Yang Dimandomkan

17 Muharram 1430H bersamaan hari Rabu, hari ini mahasiswa Kuis keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ke-11. Hambar dan lesu, itulah perkataan terbaik untuk saya gambarkan susana PRK Kuis kali ini. Inilah kali pertama saya sebagai mahasiswa Kuis, menyaksikan PRK yang hanya mempertandingkan kerusi umum sahaja tanpa sebarang kerusi fakulti. Hal ini memandangkan keseluruhan kerusi fakulti telah dimenangi oleh semua calon tanpa bertanding kerana tidak wujudnya sebarang persaingan.

Ya, saya akui sedikit terkejut dengan perkara ini, namun dengan bacaan saya terhadap suasana Kuis akhir-akhir ini, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan. Barangkali Kuis bangga mencatat sejarah PRK tersendiri. Sebagai mahasiswa, saya mahu kita semua membuka minda dengan lebih kritis memikirkan faktor terjadinya perkara seperti ini. Kita mahu salahkan siapa dalam hal ini? Kemandoman mahasiswa, atau keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa dalam usaha memandomkan mahasiswa Kuis?

Dari kaca mata seorang mahasiswa yang celik minda dan cakna suasana, kita tidak lagi dapat menafikan perkara ini banyak berpunca dari keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa Kuis dalam usaha memandomkan mahasiswa. Pelbagai bukti kukuh dalam mengenepikan hak-hak mahasiswa telah diperlihatkan pihak pentadbiran mahasiswa di Kuis. Mahasiswa diperbodoh seakan 'lembu dicucuk hidungnya', hitam kata Jabatan Perosak Mahasiswa (JPM), hitamlah jawab mahasiswa Kuis.

Tetapi sampai bila kita perlu untuk menyalahkan keadaan-keadan yang kita hadapi? Dalam peperangan misalnya, apabila pihak kita kalah wajarkah untuk kita terus menyalahkan taktik-taktik kotor musuh yang mengalahkan kita? Atau kita sendiri yang perlu bermuhasabah, menyusun strategi demi strategi, lantas bertindak dengak lebih efektif untuk menghancurkan kekuatan musuh seterusnya menjadi juara dalam peperangan?

Kita mahasiswa, bukan budak sekolah tadika! Bertindaklah sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian tegas. Esok lusa, mahasiwalah yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan negara. Kalau kita rela dengan proses kemandoman yang berlaku atas diri kita, sampai bila-bilalah kita menjadi manusia yang mandom. Walaupun pahit untuk diterima, catitlah dalam diari hidup kita hari ini bahawa mahasiswa Kuis telah berjaya dimandomkan oleh pihak yang berkepentingan peribadi. Tetapi saya mahu ingatkan diri saya dan anda semua, masih belum terlambat untuk kita mengembalikan diri kita sebagai mahasiswa yang punya harga diri.

Malam ini Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) sesi 09 bakal berkuasa. Semoga yang diberi amanah menjalankan amanah sebaiknya. Ikhlaskan hati, usahlah sibuk mengejar populariti. Mahu atau tidak, MPM perlu berdepan antara dua realiti; Usaha-usaha JPM memandomakan mahasiswa Kuis dan mahasiswa Kuis yang selesa untuk dimandomkan.