Tuesday, December 30, 2008

Salam kemaafan


Ayah,
Maafkan aku,
Kala engkau dihambat diburu,
Barangkali aku sedang lalai melupakanmu,

Ibu,
Ampunkan aku,
Saat engkau dizalimi,
Mungkin aku asyik dengan duniawi,

Abang,
Salam kemaafan,
Tika jatungmu dirobek peluru,
Barangkali aku selesa dengan bahagia di depan mata,

Kakak,
Ku hulur kemafaan,
Apabila maruahmu sedang diinjak hina,
Mungkin aku sedang leka bercanda ria,

Adik,
Sambutlah kemaafan,
Tatkala tubuh kecilmu dipukul belantan,
Mungkin aku lena berteman mimpi,

Allah Tuhanku,
Ampunkan aku,
Kiranya aku alpa untuk merasai derita keluarga,
Keluargaku di bumi Palestina...
Tuhan dengan rahmat dan kasih sayang Mu,
Bantulah mereka,
Bantulah mereka,
Bantulah mereka.




Thursday, December 25, 2008

Lawan Tetap Lawan! Mahasiswa Kuis Jangan Mandom!!

Pilihan Raya Kampus(PRK)Kuis kembali lagi. Tahniah saya ucapkan kepada semua bekas Majlis Perwakilan Mahasiswa Kuis sesi 07/08 kerana telah berjaya memikul taklifan yang dipertanggunjawabkan. Namun izinkan juga untuk saya melafazkan ucapan takziah kepada anda semua di atas penghinaan Jabatan Perosak Mahasiswa (JPM) Kuis dalam proses pembubaran MPM sendiri.

JPM dilihat semakin menggila apabila menzahirkan satu demi satu kebobrokan dalam urusan pengurusan mahasiswa. Mahasiswa digula-gulakan demi mencapai visi dan misi pihak JPM untuk melihat mahasiswa Kuis terus menjadi kuda tunggangan mereka.

Justeru untuk semua mahasiswa Kuis, buka minda kita, jiwai keberadaan kita sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keintelektuan yang tinggi. Buktikan kita adalah mahasiswa yang punya jati diri dan tidak boleh terus diperkotak-katikkan.

Jpm akan terus dan terus menjadi perosak selagi mahasiswa Kuis tidak bertindak. Anda mampu mengubahnya. Lawan tetap lawan. Mahasiswa Kuis jangan Mandom!!

Antara Perasaan dan Perasan

Hati ini milik Tuhan,
Kealpaan buat kita perasan,
Asyik dan asyik melayan perasaan,
Perasan mahu miliki segala kemahuan,
Kemahuan yang tiada kesudahan,
Terus dan terus mengikut perasaan,
Perasan mahu jadi kenyataan,
Bukan salah untuk berperasaan,
Kalau berperasaan kerana Tuhan,
Tiada salah untuk berperasaan,
Kiranya bukan hasutan syaitan,
Antara perasaan dan perasan,
Hati dan perasaan ini milikMu Tuhan,
Aku berlindung dari menjadi Sang Perasan!

Monday, December 22, 2008

Belajar taqwa dari si kecil


"Nuh cerita kartun tadi dah habis ke?" Saya cuba mengalihkan perhatian anak buah saya dari menganggu dua orang adiknya yang sedang tidur." Macam mana Nuh nak tengok ada girl seksi la auntie.." Saya tergamam, sungguhlah kata orang budak kecil mudah diajar. Baru semalamnya saya berpesan kepada Nuh, "Nuh, kalau cerita dalam tv ada girl seksi tutup tv ye sayang, nanti Allah marah, kalau Allah marah kita jadi kawan syaitan tau." Hari itu saya sendiri tidak menyangka nasihat itu sudah meresap ke dalam jiwa sucinya.
Hari esoknya Nuh menonton tv lagi. "Arghh..." Saya berlari mendapatkan Nuh, pucat mukanya. "Auntie dalam tv tadi ada girl dengan boy cium, Nuh tertengok" Dengan rasa geram saya tutup suiz tv. "Kalau tertengok Allah tak marah, tapi kalau Nuh tertengok lepas tu Nuh sengaja nak tengok lagi, itu Allah marah." Saya cuba menenangkan Nuh, kesian sungguh saya pada dia waktu itu. "Nuh, sebab tu mama dengan baba Nuh tak nak beli tv kat rumah Nuh, banyak sangat cerita tak elok dalam tv" "Kalau macam tu, dalam syurga kita boleh tengok tv tak auntie?" "Boleh sayang, kat dalam syurga semua boleh, tapi Nuh kena jadi soleh boy dulu kalau nak masuk syurga." "Ok Nuh nak jadi soleh boy, Nuh tak nak dah suruh mama dengan baba Nuh beli tv kat rumah" Entah mengapa saya benar-benar tersentuh dengan kata-katanya, saya peluk dia seeratnya. Hari itu Nuh telah mengajar saya tentang taqwa, berpaling dari kejahatan dan kemaksiatan kerana takutkan Tuhan. Thanks Nuh. Luv you so much my dear..

Saturday, December 6, 2008

23 tahun, hari-hari dalm hidupku..?


Alhamdulillah. Lafaz hamdalah saya rafa'kan ke hadrat Ilahi atas nikmat usia yang dikurniakan. '8 Zulhijjah 1429H' , hari ini genaplah 23 tahun usia saya. Ya! Saya lebih suka untuk meraikan ulang tahun hari lahir saya mengikut tahun hijriah berbanding masihi memandangkan pengunaan tahun hijriah adalah antara syiar Islam yang semakin dilupakan.

Menyambut ulang tahun kelahiran bukanlah dengan keseronokan yang melalikan, bahkan ianya adalah hari untuk kita memuhasabah diri dalam mendekati Ilahi. Bukankah semakin meningkat usia menandakan kematian yang semakin menghampiri kita?
Menyoroti sirah Islam membuatkan saya terharu. Kagum saya memikirkan mereka-mereka yang memperjuangkan agama Allah ketika usia masih muda remaja. Siapa yang tidak tahu kekentalan Sulatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Konstitinopal ketika baru berumur 23 tahun?. Siapa yang tidak kenal Mus'ab bin Umair si pembawa bendera Islam yang sangat muda belia?..dan saya??..Astaghfirullahal'adzim..
23 tahun usia saya, mudah-mudahan ia adalah usia yang diberkati Allah. Dengan Rahmat dan kasih sayangNya, moga sekecil-kecil dosa saya hingga sebesar-besarnya sentiasa mendapat keampunan dariNya. Doa dan harapan, agar hari-hari yang mendatang dalam hidup saya akan terisi dengan perjuangan dalam menegakkan kalimah Allah hingga syahid menjadi realiti!
Khususan untuk permata hati diri , emak, emak, emak dan ayah terima kasih atas segala jasa kalian. "Allahumma firghli waliwalidayya warhamhuma kama Rabbayani saghira" Terima Kasih Allah..'23 tahun hari-hari dalm hidupku...?? '



Monday, November 24, 2008

Moga bersama di syurga abadi..

Kata k.Long “Ye le teman tau le kamu tu Zainab Ghazali..”
Mak ingatkan “Ayah dah berapa kali tanya bila Ikah nak balik.”
Pesan kak Finie “Achu next week balik ye. Akak masak nasi daging, birthday Abang sabtu ni..”
K.ngah tegur “Kamu duduk Jepun ke Bangi?”
Ayah perli “Hem.. mengalahkan Dr Lo’Lo ni..’

Ya Allah..Kalau boleh dalam hidup ini nak bagi semua orang puas hati dengan kita. Kalau dapat dalam hidup ini, nak bagi semua orang gembira dengan kita.
Tapi…….Tak semua yang kita rancang boleh berlaku sebaik-baiknya.Ya! Kita hanya merancang, dan kepada Allah jualah kembali segala perancangan.
Dah berapa kali saya tangguh nak balik rumah, dah macam-macam alasan saya berikan kepada famili. Sedih! Kadang-kadang rasa diri culas terhadap keluarga sendiri. Kadang-kadang terasa diri mengabaikan mad’u yang terhampir dengan diri.
Entahlah.. Hidup ini memang sering dihadapkan dengan pilihan demi pilihan. Jauh di sudut hati, saya selalu berdoa moga apa yang saya pilih sentiasa diperkenankan Tuhan. Walaupun barangkali terpaksa membuat insan-insan yang saya sayangi berkecil hati. Saya cuba juga membuat perbandingan, berfikir sebaik-baiknya untuk meletakkan sesuatu yang lebih aula pada tempatnya. Tapi..hasilnya tak selalu menyebelahi program saya bersama famili.
Tidak! Saya bukan mengutamakan kawan dari keluarga. Tapi saya mahu diri saya lebih mencintai Allah dan Rasulnya dari mereka sendiri..
“Ya Allah, kiranya Engkau merahmati aku di atas ‘jalan ini,’ maka luaskanlah rahmatMu itu buat mereka yang sentiasa bersabar dalam memahami perjuangan hidup ini.”
Sungguh! Aku kepingin untuk berdampingan dengan kalian di syurga abadi..

Monday, November 10, 2008

Warkah terbuka buat 2 jiwa yang aku cintai kerna Dia..



Salam sesuci Kauthar buat dua jiwa yang ku rindui kerana Tuhanku. Maaf diatas keterlewatan warkah ini. Maaf kiranya membuatkan kalian ternanti-nanti. Maaf kerana tidak mampu menjadi seorang sahabat yang tangkas menunaikan hak-hak sahabatnya. Moga Allah lebih-lebih lagi memberi kemaafan pada diri yang serba kekurangan ini. Amin ya Rabb..
Asmaa’ kasihi fillah,
Keterlewatan ini bukan bermakna ana melupakan enti, tidak juga memandang permintaan enti ini sebagai sesuatu yang remeh, namun keterbatasan waktu membuatka ana terpaksa menangguhkan permintaan ini. Jauh di sudut hati ana sentiasa mendoakan agar sahabat-sahabat ana tidak terlepas dari tarbiah Allah.
Adikku Natrah,
Sudah cukup rasanya untuk adik mendengar penjelasan akak pada k.asmaa’. Sungguh, akak tak pernah cuba untuk melupakan kalian. .
Buat 2 insan yang sentiasa dirindui,
Kerana Allah kita bertemu, kerana Allah jualah kita berpisah. Terkadang terharu memikirkan nikmat Allah di atas ukhwah fillah ini. Kita dipisahkan dari benua yang berbeza, tapi ana yakini perpisahan ini adalah perpisahan zahiriah semata. Hakikatnya saat kita mengingati Sang Kekasih yang sama di situlah hati-hati kita saling bertemu.
Untuk jiwaku, dan kalian jua,
Tiada siapa lagi boleh menafikan, hakikat kehidupan hari ini bergelumang dengan mazmumah dan karat kejahilan. Sekularisme membarah dalam kehidupan insan, seakan sistem jahat dan busuk itu menjadi kebiasaan. Na’uzubillahiminalzalik..Mudah-mudahan kita terus tegar di atas jalanNya. Menyerahkan hidup untuk Allah dan RasulNya. Menongkah sejuta kepayahan untuk ummah tercinta.
Teman seperjuangan,
Doa dan harapan moga kita terslamat dari fitnah dunia. Tergolong dari golongan ghuraba’ yang menjadi mata rantai perjuangan Rasul tercinta. Salam semulia jihad buat asmaa’ di UK dan Natrah di Mesir.

Friday, November 7, 2008

Ini pilihanku

Kata mereka kerja gila,
Cakap mereka fikir sehabisnya,
Ya!
Mereka boleh lontarkan apa sahaja,
Aku yang terima,
Aku yang rasa,
Ya!
Ini pilihanku,
Tiada ragu,
Tidak buntu,
Maafkan aku buat yang terasa,
Bukan itu niatku,
Bukan itu tujuanku,
Aku mahu,
Aku ingin,
Berdagang dengan Sang Kekasih,
Ya!
Bukan mudah,
Kerana harga sebuah keredhaan,
Menuntut sejuta pengorbanan,
Allahumma faqihna fiddin,
Wa`alimna ta’wil.

Monday, October 20, 2008

Jujurlah duhai ukhtiku..

Dalam suatu diskusi seorang muslimin mengeluarkan sepatah kenyataan pijar “Muslimat lepas kahwin senyaplah” . Saya menahan geram. Mungkin juga kegeraman cetusan emosi kewanitaan. “Bukan perlekeh, tapi cabaran!” Beliau cuba menenangkan setelah melihat reaksi beberapa orang muslimat yang seakan tidak berpuas hati dengan kenyataannya.

Walaupun pahit untuk menerima, setelah beberapa tahun terlibat secara langsung dalam gerak kerja harakah islamiyyah saya akui kebenarannya. Perkara ini bukan isu luar biasa. Cerita sama berulang dari generasi ke generasi.

Soalnya kenapa itu yang terjadi? Sedang ikatan pernikahan ahli harakah itu sendiri kebiasaanya melalui proses khidmat jawatan kuasa `Unit Baitul Muslim' (UBM)? Sefikrah sudah tentu keutamaan yang diberi perhatian. Kalaulah kedua-dua pihak punya matlamat yang sama yakni menegakkan daulah islamiyyah, kenapa pula perlu berlaku keciciran pihak muslimat dalam gerak kerja harakah setelah berlakunya pernikahan?

Sirah telah membuktikan peranan muslimat dalam harakah islamiyyah bukanlah perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Sejak kelahiran awal Islam sehinggalah cahaya Islam menerangi jazirah Arab dan kawasan persekitarannya, medan perjuangan Islam tidak pernah sunyi daripada penyertaan angkatan muslimat.

Amat malang bagi seorang muslimah yang pernah berbaiah untuk menginfaqkan diri dalam harakah Islamiyyah lalu dengan mudah menjadikan alasan kesibukan mengurus rumah tangga sebagai asbab untuk berlepas diri dari perjanjian dengan Tuhannya.

Maksud firman Allah dalam surah Al-kahfi ayat 46: “Harta dan anak-anak merupakan perhiasan hidup dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi solih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”
Secara peribadi saya tidak bermaksud untuk menafikan betapa pentingnya peranan seorang isteri dan ibu dalam pembinaan sebuah keluarga yang bersifat rabbani. Namun memberi alasan untuk langsung tidak melibatkan diri dalam gerak kerja lantaran kesibukan mengurus rumah tanga, adalah suatu perkara yang tidak sewajarnya berlaku ke atas seorang individu yang pernah berbaiah, sedangkan dalam pada masa yang sama musuh-musuh Islam bersengkang mata mengatur agenda memusnahkan Islam dari setiap penjuru.

Justeru dalam hal ini, pihak suami perlulah memainkan peranan dalam menyuntikkan semangat si isteri untuk terus berada dan saf perjuangan yang sama dan bukan pula menjadi punca kecicirannya. Memberi atau memaksa ‘kerehatan’ kepada isteri dalam urusan jihad fi sabilillah tanpa alasan yang munasabah hanya memberi kerugian besar kepada ummah.

Jujurlah dalam memegang amanah Ilahi. Jujurlah menjadi mata rantai perjuangan Nabi. Urusan perjuangan kita masih banyak lagi. Usahlah mementingkan diri. Maksud sabda Nabi.”Tidak beriman orang yang tidak amanah” Untuk jiwaku dan jiwamu. "Kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga. Manakala dusta membawa ke neraka ".

Monday, September 1, 2008

Kerna DIA..Lillahirabbil`alamin..
Bismillahirahmanirahim..
Dengan asma Allah saya mulakan blog ini. Terlalu berat bagi saya untuk menjadi seorang blogger yang konsisten. Saya akui, beberapa tahun dahulu saya pernah memulakannya. Namun lantaran kesibukan yang menghambat ianya menemui jalan buntu.
“Enti mesti faham realiti masa kini. Ini antara jalan dakwah kita!” Itu antara kata-kata sahabat yang meminta untuk saya terus menulis. Ya! Saya akui kebenarannya. Tetapi kegusaran sekiranya saya tidak istiqamah, membentengi kebenaran kata-katanya. Sebenarnya saya terlalu bimbang jika sekali lagi blog saya bakal tersadai dan terbengkalai!
Kalau beberapa tahun dahulu saya memberi alasan kesibukan saya menjadi punca untuk saya menamatkan blog, hakikatnya pada masa kini kesibukan saya lebih berlipat ganda. Namun, Alhamdulillah berkat teguran dan kritikan dari teman-teman seperjuangan iman yang tipis dalam diri saya sudah mula menyapa jiwa. Jiwa yang suka memberi alasan untuk mencari pahala!
Justeru dikesempatan ini jutaan terima kasih saya ucapkan kepada insan-insan yang telah memberi dorongan untuk saya memulakan misi ini sekali lagi. Berulang kali saya cuba mengelak, tetapi mereka tidak pernah berputus asa untuk terus meniupkan kembali semangat saya.
Walau bagaimanapun saya menyedari, saya masih mentah dalam bidang ini. Bertatih-tatih belajar jalan. Jatuh bangun resam yang perlu saya hadapi. Sedayanya saya cuba menggagah gigihkan diri untuk lebih konsisten sesuai dengan kondisi saya sebagai seorang pelajar yang turut bekerja. Doakan saya terus tegar di atas jalan dakwah ini, dan saya mahu semua pembaca blog ini mengetahui, bahawa saya sangat menghargai kritikan yang mampu membawa penulisan saya menjadi lebih efektif dan efisien. “Kerna Dia..Lillahirabbil`alamin”