Thursday, December 10, 2009

Andai ramai seperti mereka?




10 Disember bersamaan hari Khamis, Dataran 1st Cafe Kuis menjadi saksi pembubaran secara rasmi Gerakan Mahasisw Sedar (GMS) dalam pembawaan isu yuran. Tahniah saya ucapkan kepada GMS yang telah melakar sejarah, membuktikan dengan iltizam bahawa masih wujud kelompok mahasiswa yang berani menyatakan kebenaran, walau terpaksa menempuh pelbagai dugaan.

GMS tegar berdiri, disaat mahasiswa Kuis rela membiarkan diri dizalimi. Saya pasti, jika diberi pilihan di antara berada di meja belajar, menekuni khazanah ilmu yang perlu dikhadami ataupun berpencak di medan perjuangan, mengorbankan diri demi memastikan kebatilan menyembah bumi, maka pastinya memilih jalan mudah tanpa memikirkan soal kebajikan ummat menjadi pilihan kebanyakkan mahasiswa. Namun Alhamdulillah Kuis seharusnya berbangga masih punya mahasiswa yang berintegriti. Hidup mereka bukan atas kemaslahatan diri, bahkan untuk ummah yang lebih mereka cintai.

Pelbagai tohmahan dilemparkan, bermacam ugutan mereka hadapi. Soalnya, mulut-mulut yang mudah mencaci nista kewujudan GMS di bumi Kuis yang kononya dikatakan perosak imej baik Kuis, apakah kita sudah melakukan sesuatu dalam memastikan yang haq itu tertegak dan yang batil itu dihapuskan? Tepuk dada tanyalah iman?

Justeru, buat akhirnya untuk mahasiswa Kuis ayuh belajarlah sesuatu dari kehadiran GMS yang sebentar cuma. Ketahuilah bahawa mereka tidak pernah hadir untuk menimbulkan kucar kacir. Bahkan menuntun hak setiap dari mahasiswa yang terinaya tanpa memikirkan soal kepentingan hidup mereke. Andai ramai seperti mereka??

Thursday, November 26, 2009

Moga dipermudahkan





Bismillahirahmanirahim..


Salam aidil adha. Terasa kekok untuk saya menulis, setelah sekian lama saya biarkan blog ini 'bersawang' atau kalau analoginya bak kuih raya barangkali ianya sudah berkapang.

Kali terakhir saya mencatat sesuatu untuk blog ini, adalah sebelum beberapa hari saya menunaikan umrah pada bulan Ogos yang lalu. Selepas itu, entah kenapa beberapa kali percubaan saya untuk menulis menemui jalan buntu bahkan saya hampir-hampir menutup episod 'jalrastafisabilillah' ini.

Aidil adha menggamit memori indah saat Allah menjemput saya menjadi tetamuNya. Dua minggu Ramadhan terawal saya direzkikan dengan pemusafiran di Haramain. Suatu pekara yang saya sendiri tidak duga dengan beberapa limitasi kondisi saya ketika itu.

Allahuakbar!Allahuakbar!Seruan azan subuh bagaikan meraikan kehadiran saya di Madinah Al-Munawwarah. Saya biarkan titisan air mata mengiringi hening subuh itu. ''Masyaallah akhirnya Engkau izinkan untuk ku jejak bumi yang tersimpannya jasad RasulMu" Sungguh saya benar-benar terharu.

Makkatul Mukarramah menjadi destinasi seterusnya. Sukar sekali saya mempercayai bahawa Ka'bah yang menjadi kiblat sekalian ummat Islam berada di depan mata. Umrah yang sengaja saya lakukan seorang diri di bawah bahang terik mentari membuatkan saya terharu memikirkan betapa hebatnya iman para Nabi dan sahabat meredah pelbagai ujian yang tidak tergambar dek akal fikiran dalam memastikan keberlangsungan risalah dakwah yang menjadi amanah Allah terus mekar di persada dunia. Tingginya tawakkal Nabi Ibrahim saat meninggalkan isteri tercinta sebagai bukti cinta utamanya adalah buat Sang Pencipta yang tiada duanya. Setianya Siti Hajar menagih redha suaminya dalam menggapai redha Sang khaliq yang lebih utama.

Maha Suci Allah sungguh mereka sedang berbahagia di atas ketulusan dan keikhlasan pengorbanan mereka dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga begitulah hendaknya buat sekalian jemaah haji. Mudahan-mudahan kesungguhan dan keikhlasan mereka menempuh pelbagai ujian dalam melakukan ibadah haji bakal dijanjikan haji yang mabrur. Haji yang telah Allah janjikan dalam firman Nabi bahawa syurgalah balasannya.

Semoga Allah memudahkan pula perjalanan kita untuk melaksanakan ibadah haji suatu hari nanti. Jua hendaknya moga Allah izinkan untuk kita sujud di masjid AL Aqsa tercinta. Itu cita dan harapan saya dan pastinya kita perlu optimis seiring doa dan usaha dalam menggapai impian dan harapan! Moga dipermudahkan buat kita semua AMIN YA RABB!

Sunday, August 16, 2009

Arigato!teman-teman jihadku:)

14 Ogos 1986?
Entah kenapa sukar sekali saya mengingati 14 Ogos sebagai tarikh hari lahir saya. Seperti yang pernah saya khabarkan dalam antara entri terawal saya yang bertajuk "23 Tahun Hari-Hari Dalam Hidupku", hakikatnya saya lebih suka mengira umur saya mengikut tahun Hijri. Telah terbukti dari kaedah saintifiknya pengiraan dalam tahun Hijri atau bulan Islam lebih tepat berbanding tahun Masihi.


8 Zulhijjah 1406H?
Justeru seharusnya saya menyedari tanggal 8 Zulhijjah tahun ini umur saya bakal meningkat kepada 24 tahun. Saya mula rasa lebih dewasa. Kadang-kadang saya mohon maaf pada emak dan ayah tatkala memikirkan ketika usia begini saya masih lagi di bawah tanggungan mereka. Namun adakalanya saya rasa amat bersyukur dalam usia ini jugalah saya masih boleh menuntut ilmu tanpa memikirkan bebanan kerja-kerja di pejabat.

Kematian yang menghampiri
Masa makin pantas berlalu, sedetik bertambahnya usia semakin hampirlah ajal saya bertamu. Tiada yang lebih saya harapkan, moga syahid jadi jalan untuk saya bertemu Tuhan. Kalau yang suka bertanya tentang jodoh, biar saya katakan pernikahan atas dunia itu belum pasti bagi setiap insan, namun kematian itu suatu perkara wajib yang setiap dari kita perlu hadapinya. Oleh itu persediaan mana yang perlu diberi keutamaan? Bukanlah saya ini berhati batu tidak berperasaan.. Tapi pengalaman sudah cukup memberi pengajaran.

Terima kasih daun keladi, ada rezki buatlah lagi:)
Untuk akhirnya, terima kasih daun keladi buat sahabat-sahabat yang bersusah payah memainkan watak dalam menjayakan misi membuat dua kejutan besar. Juga pengirim-pengirim mesej yang memenuhi inbox saya. Mari kita berdoa agar hari-hari yang bakal kita lalui menjanjikan keredhaan Allah buat kita semua.

Di jalan dakwah kita berukhwah,
Bertemu berpisah kerana Allah,
Moga pertemuan abadi di syurgawi,
Menjanjikan pertemuan yang kekal abadi,
Salam semulia jihad!
Sayang antunna keranaAllah semata..

Monday, August 10, 2009

Dari alumni ALAM




Saya tidak pasti mengapa akhir-akhir ini pelbagai tohmahan suka dilemparkan kepada Kelab Al-azhar Members (ALAM). Tidak cukup dengan khabar angin, perkataan-perkataan biadab lagi melampau pula datang menyerang blog HAWA ALAM. Jujurnya saya kesali perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan terkutuk ini. Sepanjang pemerhatian saya, ia berlaku bagai dirancang. Oh!Itu sekadar hipotesis awal saya, jangan ada yang menuduh saya cuba mencipta provokasi jauh sekali meraih simpati.

Saya mahu berbicara atas kapasiti alumni ALAM. Ditengah-tengah kekalutan pihak-pihak tertentu yang cuba memburukkan ALAM, suka untuk saya ucapkan jutaan tahniah kepada saf kepimpinan ALAM terkini. Sungguh, saya melihat terlalu banyak perubahan yang lebih baik dan gerak kerja yang lebih konsisten telah dilakukan oleh pihak ALAM sekarang, dalam usaha mempertahankan biah solehah di bumi KUIS khususnya.

Semoga barisan kepimpinan ALAM terus berusaha mengerah keringat tanpa mengenal erti putus asa dalam memastikan keberlangsungan dakwah Islam terus subur di bumi KUIS.

Kepada mana-mana pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati terhadap gerak kerja yang dilakukan pihak ALAM, saya mencadangkan adalah lebih baik untuk anda tampil memberikan komentar dengan cara terhormat terhadap pimpinan ALAM, namun bukan dengan cara yang tidak bertanggungjawab ibarat orang membaling batu lalu menyorokkan tangannya.

Thursday, August 6, 2009

Pemuda Umno Jangan Dangkal




Pemuda Umno dinasihatkan agar tidak bersifat dangkal. Hal ini berikutan seruan Pemuda Umno yang meminta agar peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur membuat tindakan undang-undang terhadap Gerakan Mansuhkan ISA.

Realitinya perhimpunan mansuhkan ISA 1 Ogos yang lalu mampu memberikan peluang kepada para peniaga di Kuala Lumpur untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda memandangkan perhimpunan aman itu telah disertai lebih enam puluh ribu orang.

Namun amat malang sekali, perhimpunan itu bertukar menjadi kucar kacir hingga menyebabkan banyak kedai-kedai ditutup lantaran sikap pihak polis dan FRU yang tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Justeru, pihak mankah yang wajar diambil tindakan undang-undang? Gerakan Mansuhkan ISA yang mengadakan himpunan aman, atau pihak polis dan FRU yang mencipta huru-hara dalam himpunan aman tersebut?

Thursday, July 30, 2009

ISA KEJAM; LAWAN TETAP LAWAN!


Akta Keselamatan dalam Negeri ISA jelas telah melanggar hak kebebasan diri individu. Entiti mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (PMAI KUIS) sebulat suara menyokong pemansuhan akta rimba ini setelah hampir setengah abad ia diguna pakai dalam sebuah negara yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi.

Kita mencerca kezaliman rejim Israel di penjara Guantanamo. Kita hebahkan kekejaman tentera Yahudi terhadap saudara mara kita di bumi Palestin. Namun amat jelik sekali apabila kita sekadar menutup mata, menyaksikan penderitaan segelintir rakyat Malaysia yang dizalimi di bawah Akta ISA atas kerakusan pihak yang berkepentingan.

Apakah kita tidak malu, membiarkan seorang anak ‘diyatimkan’ dengan kebobrokan Akta ISA? Adakah kita tidak punya hati melihat kesengsaraan seorang isteri ‘dibalukan’ kerana kejahatan Akta ISA? Tiada perasaankah kita melihat penderaan diluar batas norma kemanusiaan diperlakukan terhadap tahanan-tahanan ISA? Atau kita masih mahu berpeluk tubuh, bagai orang bodoh membiarkan kezaliman terus melata di bumi Malaysia?

Justeru ayuh wahai insan yang masih punya hati dan perasaan, kita semarakkan himpunan 1 Ogos 2009 sebagai sebahagian dari usaha kita bagi memastikan akta zalim ini terus dihapuskan. Kembalikan hak tahanan.Ya! kalau benar mereka bersalah sila bicarakan mengikut lunas undang-undang, bukan menyumbat mereka dalam tahanan tanpa ruang perbicaraan. ISA kejam, lawan tetap lawan!

Sunday, June 21, 2009

Tribut buat ayahandaku

Semasa saya kecil dahulu ayah pernah menguji saya,sayang emak lebih atau ayah? Saya jawab dua-dua. Lalu ayah tanya, banyak mana sayang itu? Jawab saya berjuta-jata lemon. Ayah dakap saya sambil tertawa dengan jawapan yang saya berikan.

Suatu hari ketika saya masih berada di bangku sekolah rendah ayah minta saya buatkan air teh untuk emak dan ayah. Saya berikan tiga cawan untuk emak, dan satu cawan buat ayah. Tanpa rasa serba salah saya khabarkan apa yang diajar oleh guru saya. Bahawa Nabi minta untuk menyayangi emak tiga kali ganda berbanding ayah. Emak dan ayah gelak bersama dengan tindakan saya, kemudian menerangkan dengan lebih jelas tentang hadith yang telah disamapaikan oleh guru saya.

Apabila saya sudah besar, saya pernah luahkan pada ayah kiranya melebihkan ibu berbanding ayah bukan perintah Rasulullah pasti saya akan menyayangi emak dan ayah sama rata. Ayah faham dan mengiyakan kata-kata saya.

Banyak minat saya menyamai minat ayah membaca, berkebun, bahkan hoki yang juga menjadi sukan kegemaran sewaktu saya berada di sekolah rendah turut saya warisi dari ayah. Orang selalu kata wajah saya juga mirip ayah. 'Anak ayah' ke saya ni.. ?:)

Apa yang pasti terlalu banyak jasa ayah yang tidak mungkin mampu untuk saya balasi. Tak terbilang, tak terhitung, dan tak tersebut. Saya banyak belajar erti ketabahan hidup dari insan bernama ayah. Ayah sudah tidak beribu sejak usianya baru mencecah empat tahun. Ayah benar-benar membesar dengan penuhh kesusahan.

Saya tak akan lupa apabila ayah mencabar untuk saya dan abang mencari duit sendiri untuk membiyai yuran PMR dan SPM. Kami ambil keputusan untuk menjual kurma, kismis, dan agar-agar di bazar Ramadhan. Alhamdulillah, kami berjaya membiyai yuran kami sendiri bahkan hasilnya lebih dari itu. Saya maklum, bukan ayah sengaja mahu susahkan anak-anaknya, tapi ayah mahu kami belajar hidup berdikari.

Love will never end.. Happy fathers day, thank you ayah..Love you so much!

Sunday, May 31, 2009

Berpelajaran Tidak Berpendidikan

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.

Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.
Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Apa maknanya itu?

Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!

S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan?

Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.

Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?

Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN

Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia.

Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.
Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?

Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.

Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

MEMPOLITIKKAN SEGALANYA

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.
Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.

Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya.

Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!

Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!

Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.
Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

DIALOG POLISI

Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.

Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Ia suatu pengalaman berharga.

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.
Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.

Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.

Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

SERANGAN SOCRATES

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.

Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.

“Apakah tujuan hidup ini?”

“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”

“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”
Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.

Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.

Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.

Tidakkah itu sejarah yang berulang?

Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.

Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.

SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK

Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008

sumber: saifulislam.com

Tuesday, May 26, 2009

Aminah Abdullah Berniat Jahat

Calon bebas Penanti Aminah Abdullah yang juga bekas ketua wanita Parti Keadilan Nasional (keAdilan) dianggap berniat jahat atas dakwaan diumpan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Aminah Abdullah yang seakan cuba 'bermain tarik tali' atas dakwaan yang beliau kemukakan hanya menambah kesangsian rakyat terhadap kredibiliti beliau sendiri. Kelicikan beliau terbongkar atas syarat yang dikenakan terhadap PKR supaya dilakukakan pembubaran terhadap parti berkenaan sekiranya beliau mampu mengemukakan bukti bahawa PKR terlibat dengan rasuah.

Jika benar Aminah Abdullah ikhlas terhadap dakwaan yang diperkatakan, mengapa pula beliau perlu mengenakan syarat-syarat tertentu?

Sunday, May 17, 2009

Lebih dari seorang Mu'alim.

Sekiranya ada yang bertanya siapa guru pertama dalam hidup saya? Tentu saya akan memberi tahu, guru pertama saya ialah emak. "Selamat hari guru emak!". Terima kasih kerana telah bersusah payah mendidik diri ini sejak di alam rahim..Seterusnya buat ayah juga.

Cikgu Leha adalah nama guru tadika yang tidak boleh saya lupakan. Kesabaran beliau mendidik anak-anak muridnya menjadi inspirasi buat saya ketika saya mengajar di Pasti. Saya masih ingat ketika beliau bersusa payah menziarahi saya saat saya terlantar sakit di hospital. Selamat Hari Guru Cikgu!

Sewaktu di sekolah rendah Cikgu Soid menjadi guru kegemaran. Bagi saya beliau lebih dari seorang guru matematik. Acapkali saya tersasul memanggilnya dengan gelaran ustaz. Manakan tidak tazkirah ringkas adalah agenda utama sebelum beliau memulakan sesi pembelajaran. Selain itu Cikgu Soid mewajibkan anak-anak muridnya menulis tarikh dalam tahun hijriah. Paling menarik Cikgu Soid akan memberikan hadiah untuk anak-anak muridnya yang berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Selamat Hari Guru Cikgu!

Apabila saya berada di sekolah menengah seorang lagi guru telah mencorakkan kehidupan saya. Ustazah Rozaidah namanya. Saya terlalu kagum dengan kekentalan semangat perjuangannya. Saat suami beliau dalam tahanan cengkaman kerajaan Toghut saya melihat beliau semakin bertenaga menyampaikan risalah dakwah tinggalan Rasulullah. Selamat Hari Guru Ustazah!

Selamat hari guru juga buat semua pensyarah-pensyarah saya. Ustaz Abu Zaki yang sentiasa tenang memberikan nasihat.

Ummi Zharah yang menjadi teman saat saya mahu menunaikan solat subuh di masjid.

Ustaz Saifullah menyampaikan mauidzoh yang bisa menyegarkan iman saat ianyakelayuan.

Ustazah Hayati, ustazah Zinora, juga Ustaz Imran yang tidak pernah jemu saat saya minta untuk ditasmi' hafazan Quran.

Ustaz Misbah yang telah mengkhabarkan sejuta pengalaman untuk memotivasiakan diri.

Ustazah Farhah yang telah mengingatkan erti kehidupan pada sumbangan yang dilakukan kepada Islam.

Selamat hari guru untuk semua guru-guruku. Kalian sentiasa meniti dibibirku saat doaku panjatkan pada Rabbul 'Izzati. Ya kalian lebih dari seorang mu'alim..kerana kalain sang muraabi. Membawa aku untuk terus-terusan mencintai Tuhan. Terima Kasih Cikgu!

Barakallahufikuma

Terasa baru benar melalui zaman kanak-kanak bersama abang saya. Benarlah dunia ini sebentar cuma. Alhamdulillah, seorang lagi abang saya telah telah menamatkan zaman bujangnya. Moga masjid yang dibina mendapat keredhaan Allah. Pagi tadi saya mendapat mesej dari abang yang baru dua hari usia perkahwinannya.

"Doakan abg cik jadi anak dan suami yg soleh.Doakan az jadi isteri dan anak yg solehah. Terima kasih tolong buat persiapan kahwin utk abg cik."

Saya balas dengan mesej yang agak panjang

"Insyaallah..Amin ya Rabb. Doakan acu jgk. Em pepandai bawa diri. Redha Allah pd seorang lelaki dr keredhaan ibu bapanya. Redha Allah pd seorang perempuan dari keredhaan suaminya. Jaga hak Allah, Allah pasti menjaga org2 yg kamu kasihi. Barakallahufikuma. Mg Allah merahmati pernikahan abg Cik dan K.Az hingga syurga jadi balasan."

Mengisi pernikahan itu tidak semudah melafaz akad pernikahan. Namun usah gentar di atas jalan yang dipilih. Nikahlah jika sudah berkemampuan. Asal sahaja ia dilakukan kerana Tuhan. Sabarlah saat bersama menghadapi kepayahan. Kerana kesabaran menjanjikan syurga Tuhan.

Sunday, May 10, 2009

Kisah kasih antara kita


Kalau orang lain mengatakan karakter animasi Doraemon adalah animasi yang paling digemari, namun bagi saya Doeramon bermata bulat itu pula meninggalkan kesan yang tidak menyenangkan diri. Kerana cerita Doeramon yang menipu itulah pada suatu hari saya, abang, dan adik telah terlewat menunaikan solat Maghrib dari kebiasaan. Akibatnya kami benar-benar mengundang kemarahan emak. Setelah peristiwa itu 'sayonara' bagi kami semua untuk menonton tv diwaktu Maghrib!


Emak bukanlah seorang ibu yang garang bagi saya. Sekalipun seumur hidup saya tidak pernah merasa pukulan emak. Cukup dengan nasihat dan teguran membina, kami adik beradik cepat mengkhadamkannya untuk diterjemahkan dalam perlakuan. Saya masih ingat sewaktu dibangku sekolah rendah emak sempat bertanyakan tentang hal-hal pelajaran kami ketika sibuk menghidangkan makanan tengah hari. Sedayanya emak mencuri waktu lantaran emak bukanlah suri rumah sepenuh masa.


Emak tidak pernah memaksa untuk kami mendapatkan yang terbaik dalam setiap keputusan peperiksaan mahupun pertandingan. Sifir emak mudah sahaja 'Mak tak marah kalau anak mak gagal, yang mak marah kalau anak mak tidak mahu berusaha'. Emak memotivasikan setiap anaknya lebih dari seorang pemotivasi.


Mak Long saya pernah menceritakan, dahulu sewaktu emak belum kahwin, rutin emak di malam hari adalah untuk mengurut kaki kedua arwah opah dan atok saya hingga mereka tertidur. Kagum dengan cerita itu, sesekali saya mempraktikkan pula kepada emak dan ayah saya, tetapi selalunya sayalah yang akan ' tersungkur' dahulu sebelum emak dan ayah tertidur.:)


Emak pernah memberitahu, emak terlalu kempunan untuk bersekolah agama, namun hasyrat itu terpaksa dikuburkan lantaran masalah kewangan yang menghimpit. Lalu ketujuh-tujuh anaknya, emak hantar belajar ke sekolah agama. Tatkala hampir kesemua anaknya memberikan alasan untuk tidak mahu meneruskan pengajian di sekolah agama, emak terus berdoa dengan penuh kesabaran agar anaknya sentiasa memperoleh kebaikan.


Saya sering mendengar rintihan emak di malam yang pekat, mengadu kepada Tuhan yang Satu, moga redha Allah buat kecintaan-kecintaan hatinya. Hati saya menjadi sayu. Suatu hari saya luahkan kepada emak mampukah saya menjadi seperti dirinya, emak jawab dengan tenang "Ikah tak boleh jadi macam mak, sebab Ikah boleh jadi lebih baik dari emak". Saya terkasima dengan jawapan itu, tulus dari hati seorang ibu, menerbitkan rasa kasih yang kian mendalam.." Mampukah aku? monolog itu saya biarkan tanpa jawapan, saya pujuk hati itulah harapan seorang yang bernama ibu..


Wahai Allah,

Saksikanlah,

Dia ibuku,

Solehah buat suaminya,

Mithali pada anak-anaknya,

Wahai Tuhan Pemilik segala sesuatu,

Kasihilah dirinya,

Seperti Engkau mengasihi para kekasihMu,

Wahai Allah,

Tak mampu ku balas jasanya,

Redhailah,

Redhailah,

Redhailah,

Dia..Ibuku

"Selamat Hari Emak" Terima kasih buat ayah yang telah memilih wanita yang baik buat anak-anaknya, kerana ketahuilah itu jua hak bagi seorang anak. .Kisah kasih antara kita.. Terima Kasih Allah!


Saturday, May 2, 2009

Cinta yang belum berbalas









"Weh, hang! Abang kami ada ajar doa nak belajar Bahasa Arab (Allahumma ja'alna mutakallimina billughatul 'arabiyatul fusaha)" Bersunguh-sungguh Anis memperturunkan doa baru yang diperoleh dari abangnya sewaktu saya berada di tingkatan empat. Doa itu saya minta Anis tuliskan untuk saya tampalkan di atas meja. Sejak itu doa itu menjadi kelaziman bagi saya.








Sedar tak sedar suduh tujuh tahun cerita itu berlalu berlalu. Alhamdulillah takdir Allah untuk terus menempatkan saya dalam bidang Pengajian Islam setelah tamatnya SPM. Cinta saya pada Bahasa Arab yang menjadi bahasa khusus ilmu Islam itu terus mekar walau hakikatnya penguasaan saya terhadap Bahasa Al-Quran itu bukanlah di tahap yang baik apa lagi untuk dibanggakan.

Untuk membuktikan cinta itu, saya benar-benar bertekad untuk menyambung pengajian di bumi Anbiya'. Pengajian Ijazah Usuluddin di Al-Azhar, Mesir jadi impian. Namun ujian tak terduga datang menimpa, impian tinggal kenangan. Pembatalan MOU AL-Azhar-KUIS serta beberapa kolej Islam seluruh negeri secara mengejut membuatkan kebencian saya kepada kerajaan toghut Malaysia yang menjadi dalang makin membara.


Hidup perlu diteruskan. Dugaan itu saya ambil sebagai cabaran. Iman dan rasional memujuk hati, bahawa di sebalik dugaan pasti tersimpan jutaan hikmah yang tidak terfikir dek akal fikiran.

Cinta saya pada Lughatul Jannah tidak pernah pudar. Walau ia bagaikan cinta yang masih belum berbalas. Moga suatu hari Allah memberikan rezki untuk saya meneguk khazanah ilmu di bumi Anbiya' bagi saya lakarkan cerita cinta saya pada 'Bahasa Indah' itu, buat saya lebih-lebih lagi mengenali Tuhan Yang Maha Hebat. "Allahumma ja'alna mutakallimina billughatul 'arabiyyatul fusaha" Wahai Allah permudahkanlah ianya bagiku Amin Ya Rabb..

Thursday, April 30, 2009

Hargailah..


Umum maklum, dunia mengiktiraf 1 Mei sebagai hari pekerja. InsyaAllah saya menjangkakan bulan ini ialah bulan yang paling banyak bagi saya menulis artikel memandangkan bulan ini adalah bulan yang paling banyak terisi dengan hari-hari "pengiktirafan". Bermula dengan Hari Pekerja, Hari Ibu dan hari Guru, apatah lagi pertengahan bulan ini juga adalah hari bagi abang saya yang bakal menamatkan zaman bujangnya.


Kalau saya mampu, saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pekerja di dunia ini. Biarpun mereka hanya bekerja sebagai seorang tukang sapu, mereka layak diberi pengiktirafan! Bayangkan sahaja jika tiadanya tukang sapu di muka bumi ini? Aduh entah apa akan jadi dengan Malaysia, yang rakyatnya selalu 'membutakan mata' melihat tong sampah yang telah disediakan di depan mata! Saya terlalu menyampah dengan orang yang yang suka membuang sampah merata-rata. Makin meluat saya dibuatnya kalau yang melakukan itu seorang Muslim. Muslim yang telah Nabi ajar bahawa "Kebersihan itu adalah sebahagian dari iman."



Tidak kisahlah apapun pekerjaan sesorang itu, selagi ianya halal di sisi Islam mereka layak diberi penghargaan. Istimewa saya kalungkan doa buat insan-insan yang telah bekerja di jalan Allah. Menginfaqkkan diri demi Islam tercinta. Tanpa mengenal erti lelah mereka mengorak langkah, mengenepikan soal kepentingan diri, mengejar redha Ilahi. Wahai hati-hati yang telah meletakkan diri di jalan ini moga thabatlah hingga akhirnya. Wahai Allah Yang Maha Pemurah satukan hatiku dengan hati-hati mereka yang bekerja di bawah kalimah "Lailahaillallah MuhammaduRasulullah"
























Saturday, April 18, 2009

Keajaiban beberapa apabila...

Apabila adanya ziarah terhadap sesebuah kematian, wanita-wanita yang tidak bertudung kepala tiba-tiba mengerti akan kewajipan untuk mereka bertudung.

Apabila adanya majlis keagamaan, wanita-wanita yang hanya mengenali tudung saji dan tudung botol, dengan ajaibnya dapat mengenali tudung kepala.

Apabila adanya majlis akad nikah, wanita-wanita yang tidak pernah bertudung tiba-tiba mampu mensolehahkan diri dengan mengenakan tudung di kepala mereka.

Apabila Ramadhan datang menjelma, kefasadan rancangan televisyen hilang serta merta. Lalu ia diganti dengan rancangan-rancangan yang tinggi nilai tamadunnya.

Entah APABILA lagi..Apa yang pasti, APABILA sakaratul maut datang menjemput waktu dan saat itu, sudah tentu kita terasa mahu melakukan semua amal soleh di atas dunia..

ALLAH itu di mana?

Mungkinkah wujudNYA ketika Ramadhan cuma?

Taqwa itu untuk siapa?

Si mati yang kita ziarahi? Ahli agama yang berada di majlis-majlis agama? Juru nikah di majlis pernikahan?

atau hakikatnya......

TUHAN yang mempunyai hak ke atas setiap hambaNYA?

Tepuk dada tanya iman!!

Maaf kalau ada yang terasa..memang memberi 'rasa' itulah tujuan saya.

Tutup cerita lama, mulakan detik ini untuk kita menyedari ALLAH itu ada di mana-mana, melihat dan memerhati. Ketahuilah, SB ALLAH (Munkar dan Nakir) tidak pernah lalai terhadap tugasan mencatit setiap amalan yang kita lakukan. Ittaqullah, taqwa itu hanya buat ALLAH!

Tuesday, March 31, 2009

Aduh Kasihan..



Al-Kisah sebuah negeri letaknya di utara semenanjung, namun paling selatan di antara tiga yang utara. Telah maklum akan rakyat jelata, sultannya bukanlah yang sebarang. Konon bijak sultannya akan undang-undang.

SelePAS purnama menampakkan cahayanya, makin bahagialah rakyat jelata akan bukan sebarang pula menteri besarnya. Punya agama, si bijaksana, mesra pula menyapa sekalian jelata, tiadalah dia sombong sifatnya.

Oh..alangkah amannya negeri itu..

Namun tiada siapa menyangka, amanya 10 purnama cuma. Berduka cita si rakyat jelata. Tangan-tangan busuk memperorak perandakan negeri mereka, kini berkuasa. Berkuasa tanpa rela sekalian jelata.

Aduh kasihan...

Kasihan hamba pada rakyatnya yang bermuram durja...

Kasihan lagi pada sultanya...kerana tidak senang akan marahnya rakyat jelata.

Lagi kasihan hamba kepada tangan-tangan busuk si perampas kuasa...kerana sangka mereka, merekalah yang paling berkuasa...kasihan...kerana mereka lupa Allah itu Maha Berkuasa..kasihan...kerana mereka lupa Allah sentiasa melihat kejahatan mereka..Kasihan...kerana mereka pasti akan menerima balasan yang sewajarnya atas kerja-kerja terlaknat mereka...

Aduh kasihan...


Tetepi hamba sedar, tiadalah guna kasihan hamba..kalau yang dikasihankan itu tiada mahu mengasihani diri mereka..

Wahai rakyat jelata yang masih bermuram durja..

Bersabarlah atas dugaan. Ambilah ibrah dari setiap kejadian..pesan hamba buat kalian, bila tiba saatnya nanti, gunakanlah tangan-tangan kalian untuk membuktikan bahawa kalian hakikatnya terinaya..Selamat mengkudungkan tangan-tangan busuk yang suka memperkosa keamanan negerimu wahai rakyat jelata..








Wednesday, March 11, 2009

Untukmu Teman

Aku mahu khabarkan padamu teman,

Kita ini tidak sempurna,

Aku mahu memberi tahumu teman,

Kita ini banyak kelemahan,

Aku mahu ceritakan padamu teman,

Kita ini saling memerlukan,

Teman,

Kita bertemu kerana Tuhan,

Kita berukhwah kerana Allah,

Bersabarlah bila ada yang tak menepati cita rasa,

Cantik itukan ada pada kesabaran,

Setialah berbaik sangka,

Walau hati sendiri terluka,

Berilah kemaafan pada setiap kesalahan,

Si pemaaf itukan disayangi Tuhan,

Teman aku mahu katakan,

Kerana Tuhan,

Kita saling memerlukan,

Nun jauh di hadapan,

Kita punya banyak lagi tugasan,

Salam semulia jihad,

Buat semua teman seperjuangan,

Moga Allah merahmati ukhwah ini,

Abadi hingga ke syurgawi,

Barangkali buat yang terakhir,

Kerana kematian menjadi rahsia,

Menjemput tak mengira masa,

Maafkanlah aku teman,

Kerana tidak mampu memberi kebaikan seperti kalian..






Tuesday, March 3, 2009

Imtihan yang realiti

Alhamdulillah,

Semalam saya selesai menduduki peperiksaan akhir semester. Terasa banyak sungguh pertolongan yang Allah hulurkan semasa peperiksaan berlangsung. Benarlah janji Allah, saya tidak ragu!

Saya teringat kenangan lalu, ketika saya berada di tingkatan empat saya pernah khabarkan kepada seorang sahabat saya untuk mendoakan kejayaan saya dalam imtihan yang bakal berlangsung. Saya luahkan kebimbangan saya tentang persediaan yang saya kira masih belum teratur rapi.

"Akak, kecil sungguh imtihan ini, berbanding imtihan kita di padang masyar." Saya terkedu dengankata-katanya. Segan saya dengan teguran dari seorang sahabat yang berpangkat adik. Saya akuinya. Syukur saya dipertemukan sahabat yang saling mengingatkan...

Ya! hakikat yang nyata, sebesar manapun imtihan yang kita hadapi di atas dunia ini, besar lagi imtihan kita di masyar sana. Ayuh apa lagi? Mari kita muhasabah diri, sejauh mana pula persediaan kita berdepan dengan suasana imtihan yang realiti di masyar nanti?

Tuesday, February 10, 2009

Perak Gaza ke-2?

"Perak Gaza ke-2" percaya atau tidak inilah tajuk yang dilaporkan sebuah akhbar di Jordan. Dunia sudah maklum, kezaliman telah berlaku di bumi Perak. Maaf, barangkali ada yang menyindir bahawa kupasan isu ini agak terlewat. Ya! Saya akui, memang ia disengajakan. Hakikatnya saya cuba meredakan kemarahan yang meluap-luap dalam diri agar hasil tulisan saya tidak beremosi, namun hingga kini kesabaran saya tidak mampu mengatasi. Sungguh! Saya semakin membenci kerajaan taghut Barisan Nasional!

Najib mungkin sahaja sedang asyik berangan bahawa kerusi PM bakal menjadi milik beliau dengan laluan yang mudah. Almaklumlah, kononya beliaulah orang yang berusaha keras menawan Perak. Jangan lupa Najib, kebenaran pasti tertegak, dan kebatilan yang kamu rancang bersama kumpulan kamu pasti akan hancur sebagaimana hancurnya tentera Abrahah!

Daulat Tuanku! Patik PASti, Tuanku hanya memandang patik sebelah mata. Budak hingusan yang tak perlu dilayan. Terpulanglah kepada Tuanku, patik sekadar mahu beriman kepada sabda Bagina Nabi yang lebih patik cintai. Moga tangan patik, menjadi saksi di hadapan Allah Ta'ala, bahawa patik pernah berusaha menolak kebatilan yang berlaku di negeri yang menjadi amanah buat Tuanku. Tuanku Sultan, Tuanku sepatunya lebih lagi memahami undang-undang berbanding patik yang masih bertatih mempelajarinya. Tuanku, timbangkanlah keputusan Tuanku di atas neraca iman tanpa dipengaruhi oleh ketagahutan kerajaan Barisan Nasianal.

Isu di Perak, menjadi ibrah buat kita semua. Komponen Pakatan Rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengahadapi sebarang permasalahan. Jangan mudah berputus asa, seiringlah melangkah dengan usaha yang berlipat ganda. Saya tentunya akan terus optimis bahawa Perak akan kembali ke tangan pemerintah yang berhak!

Ambil perhatian wahai kerajaan Barisan Nasional dan sekutu-sekutu kamu semua! Kalau Kedah juga cuba ditumbangkan dengan penipuan dan kelicikan, maka saksikanlah ribuan jiwa pemuda sedia menjadi galang gantinya. Jangan lupa, semangat jihad As-Syahid Ibrahim Libya sudah mendarah daging dalam diri setiap pemuda yang memburu kesyahidan!

Hancur!Hancur!hancur Barisan Nasional!

Tuesday, February 3, 2009

ma'a taufiq wa najah

Bismillah..
Terasa lama sudah saya tidak menyentuh keyboard. Sedar tak sedar, 'Final exam' semakin hampir. Saya tidak berminat menyentuh soal persediaan. Biarlah diri sendiri yang menjawabnya..masing-masing dah besarkan?

Hari ini saya banyak memuhasabah diri. Kata-kata pensyarah dalam kuliah tadi menyentuh hati. Saya sudah biasa menakungkan air mata dengan kalam yang disampaikan guru. Acapkali saya merasa kerdilnya diri berdepan dengan luasnya ilmu Allah Ta'ala. Tekadang rasa bimbang menyapa diri. Mungkinkah ilmu yang Allah takdirkan buat saya mendatangkan keberkatan dalam kehidupan? Atau..na'uzubillahiminalzalik menjadikan diri semakin tidak mengenali Tuhan.

Ya! ilmu itu rezeki. Saya mengakui kata-kata ustazah Farhah dalam kuliah Hadith tadi. Sunatullah menetapakan usaha membawa kejayaan. Namun, kejayaan tidak boleh dilihat dari aspek keputusan peperiksaan semata-mata. Jika tidak, kita bolehlah dikategorikan sebagai orang yang merelakan sistem 'exam oriented' ciptaan kebodohan barat berlaku dalam diri kita sendiri. Madah yang kita ambil tentunya boleh menjadi sebahagian dari tarbiah dalam kehidupan sekiranya niat kerana Allah menjadi keutamaan.

Tadi juga saya sempat bertemu Ustaz Misbah, bertanyakan beberapa masalah hukum dan mengambil beberapa pandangan dari Al-fadhil ustaz. Di akhir pertemuan, ustaz berpesan pada saya, kefahaman ilmu itu anugerah Allah, yang penting usaha kita mencapai kearah itu. "Alhumma Faqihna fi din wa 'alimna ta'wil"

Dengan yuran Kuis yang menyeksa diri, saya tidak pasti bolehkah saya mengambil peperiksaan akhir nanti. Sudah ramai yang bertanya pada saya tentang pembayaran yuran. Jawapan saya mudah."Jangan tengok lagi, nanti sakit kepala tak boleh belajar". Biarlah dahulu, buat masa ini saya mahu menjadi orang yang asyik dan masyuk menuntut ilmu. Yuran bukan persoalan. Saya masih dalam proses meningkatkan keyakinan bahawa tidak akan fakir buat mereka yang menuntut ilmu.

Namun saya tidak boleh menipu diri, adakalanya hati ini asyik sahaja berbolak balik. Ada masa-masa tertentu, perasaan mahu berhenti belajar di Kuis atas faktor kewangan sering bermain dalam fikiran. Andai kata belajar di Yaman yang tidak memerlukan kos yang tinggi itu tidak memerlukan untuk saya membawa mahram, mungkin sahaja saya tidak berada di Kuis lagi."Ya Ilahi Rabbi, mudahkanlah diri ini utuk terus tegar menimba ilmu Mu..."

Untuk semua warga Kuis salam jihad di medan peperiksaan. Moga najah dalam keredhaan Tuhan menjadi milik kita semua. Ingatlah nilaian ilmu itu bukan habis di atas kertas peperiksaan semata, bahkan ia turut menuntut kita untuk menggunakannya buat kepentingan Islam tercinta.

Thursday, January 15, 2009

Salam Semulia Jihad

Salam Semulia Jihad,
Demo Kuis
Hari ini mahasiswa Kuis turun berdemonstrasi. Saya ucapkan tahniah kepada Al-Azhar Members (ALAM) selaku pihak penganjur demonstrasi bagi membantah kezaliman yang berlaku ke atas ummat Islam di Palestin. Namun, jauh di sudut hati saya tetap menyesali dengan sambutan yang masih belum boleh dikira memuaskan. Dari lebih lima ribu pelajar Kuis, kenapa hanya sejumlah itu sahaja yang turun berdemo? Dari ratusan pensyarah dan pekerja di Kuis ini, mengapa hanya beberapa orang sahaja yang turun berdemonstrasi?..Atau saya yang masih belum pandai untuk berbaik sangka? Ya! barangkali mereka punya kerja yang menuntut untuk mereka tidak sama-sama berdemonstrasi.

Masalah diri
Akhir-akhir ini, ramai orang sekeliling saya mula menegur. Kenapa saya sentiasa ceria, senyum dan senyum macam orang tidak pernah ada masalah. Lalu saya jawab dengan meneruskan senyuman. Mereka jadi keliru. Saya diam, dan saya paham bahawa mereka belum cukup memahami saya.

Teman yang memahami
Lalu takdir Allah memberi tahu bahawa teman-teman seperjuanganlah yang paling mengenali dan memahami saya. Mereka tahu bila saya terlalu banyak senyum, itu tanda saya sedang berdepan dengan pelbagai ujian. Mereka mula sibuk merungkai rahsia-rahsia yang saya pendam. Agak sukar untuk saya meluahkan, 'saya seorang pemendam tapi tak perlu risau kerana saya bukan pendendam.'

Kenapa senyum?
Kenapa saya senyum? Sebab saya selalu memikir dan memperlekeh diri betapa lemahnya jiwa, diuji dengan pekara kecil sudah terasa beban hidup yang besar, lalu iman saya mula membandingkan masalah-masalah kecil dan remeh yang asyik saya pikirkan, sedang banyak lagi pekara-pekara penting yang perlu saya beri fokus untuk kepentingan Islam yang saya cintai. Saya teruskan senyuman walaupun hati memendam kepahitan, mudah-mudahan ada pahala disisi Tuhan. Mungkin juga Allah mahu saya banyakkan sedekah dengan senyuman, maklumlah kekontangan wang membayar yuran. Maaf teman, bukan tidak mahu berkongsi segala kedukaan perasaan, tetapi cukuplah doa kalian sebagai penguat semangat perjuangan.

Undilah PAS
Esok, pilihan raya kecil di Kuala Terengganu bakal berlangsung, doa dan harapan moga Allah memudahkan kemenengan kepada yang mahu memperjuangkan agamaNya. Undilah Hj Mohd Abdul wahid Bin Endut, dari Parti islam Se Malaysia (PAS) dalam usaha kita mengurangkan satu lagi kerusi kezaliman kerajaan Barisan Nasional di Parlimen Malaysia.

Berangan
Oh ya! saya mula berangan, kalau BFK 8701 saya itu mampu sampai ke Terengganu, tentu sekarang saya sudah dalam perjalanan ke sana. Kalau BFK 8701 itu juga yang mampu membawa saya ke Palestin, akan saya ucapkan selamat tinggal kepada semua. Untuk jiwaku dan jiwamu salam perjuangan fi sabililllah!

Tuesday, January 13, 2009

Antara Dua Realiti; Pemandom Dan Yang Dimandomkan

17 Muharram 1430H bersamaan hari Rabu, hari ini mahasiswa Kuis keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ke-11. Hambar dan lesu, itulah perkataan terbaik untuk saya gambarkan susana PRK Kuis kali ini. Inilah kali pertama saya sebagai mahasiswa Kuis, menyaksikan PRK yang hanya mempertandingkan kerusi umum sahaja tanpa sebarang kerusi fakulti. Hal ini memandangkan keseluruhan kerusi fakulti telah dimenangi oleh semua calon tanpa bertanding kerana tidak wujudnya sebarang persaingan.

Ya, saya akui sedikit terkejut dengan perkara ini, namun dengan bacaan saya terhadap suasana Kuis akhir-akhir ini, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan. Barangkali Kuis bangga mencatat sejarah PRK tersendiri. Sebagai mahasiswa, saya mahu kita semua membuka minda dengan lebih kritis memikirkan faktor terjadinya perkara seperti ini. Kita mahu salahkan siapa dalam hal ini? Kemandoman mahasiswa, atau keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa dalam usaha memandomkan mahasiswa Kuis?

Dari kaca mata seorang mahasiswa yang celik minda dan cakna suasana, kita tidak lagi dapat menafikan perkara ini banyak berpunca dari keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa Kuis dalam usaha memandomkan mahasiswa. Pelbagai bukti kukuh dalam mengenepikan hak-hak mahasiswa telah diperlihatkan pihak pentadbiran mahasiswa di Kuis. Mahasiswa diperbodoh seakan 'lembu dicucuk hidungnya', hitam kata Jabatan Perosak Mahasiswa (JPM), hitamlah jawab mahasiswa Kuis.

Tetapi sampai bila kita perlu untuk menyalahkan keadaan-keadan yang kita hadapi? Dalam peperangan misalnya, apabila pihak kita kalah wajarkah untuk kita terus menyalahkan taktik-taktik kotor musuh yang mengalahkan kita? Atau kita sendiri yang perlu bermuhasabah, menyusun strategi demi strategi, lantas bertindak dengak lebih efektif untuk menghancurkan kekuatan musuh seterusnya menjadi juara dalam peperangan?

Kita mahasiswa, bukan budak sekolah tadika! Bertindaklah sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian tegas. Esok lusa, mahasiwalah yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan negara. Kalau kita rela dengan proses kemandoman yang berlaku atas diri kita, sampai bila-bilalah kita menjadi manusia yang mandom. Walaupun pahit untuk diterima, catitlah dalam diari hidup kita hari ini bahawa mahasiswa Kuis telah berjaya dimandomkan oleh pihak yang berkepentingan peribadi. Tetapi saya mahu ingatkan diri saya dan anda semua, masih belum terlambat untuk kita mengembalikan diri kita sebagai mahasiswa yang punya harga diri.

Malam ini Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) sesi 09 bakal berkuasa. Semoga yang diberi amanah menjalankan amanah sebaiknya. Ikhlaskan hati, usahlah sibuk mengejar populariti. Mahu atau tidak, MPM perlu berdepan antara dua realiti; Usaha-usaha JPM memandomakan mahasiswa Kuis dan mahasiswa Kuis yang selesa untuk dimandomkan.