Tuesday, January 13, 2009

Antara Dua Realiti; Pemandom Dan Yang Dimandomkan

17 Muharram 1430H bersamaan hari Rabu, hari ini mahasiswa Kuis keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ke-11. Hambar dan lesu, itulah perkataan terbaik untuk saya gambarkan susana PRK Kuis kali ini. Inilah kali pertama saya sebagai mahasiswa Kuis, menyaksikan PRK yang hanya mempertandingkan kerusi umum sahaja tanpa sebarang kerusi fakulti. Hal ini memandangkan keseluruhan kerusi fakulti telah dimenangi oleh semua calon tanpa bertanding kerana tidak wujudnya sebarang persaingan.

Ya, saya akui sedikit terkejut dengan perkara ini, namun dengan bacaan saya terhadap suasana Kuis akhir-akhir ini, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan. Barangkali Kuis bangga mencatat sejarah PRK tersendiri. Sebagai mahasiswa, saya mahu kita semua membuka minda dengan lebih kritis memikirkan faktor terjadinya perkara seperti ini. Kita mahu salahkan siapa dalam hal ini? Kemandoman mahasiswa, atau keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa dalam usaha memandomkan mahasiswa Kuis?

Dari kaca mata seorang mahasiswa yang celik minda dan cakna suasana, kita tidak lagi dapat menafikan perkara ini banyak berpunca dari keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa Kuis dalam usaha memandomkan mahasiswa. Pelbagai bukti kukuh dalam mengenepikan hak-hak mahasiswa telah diperlihatkan pihak pentadbiran mahasiswa di Kuis. Mahasiswa diperbodoh seakan 'lembu dicucuk hidungnya', hitam kata Jabatan Perosak Mahasiswa (JPM), hitamlah jawab mahasiswa Kuis.

Tetapi sampai bila kita perlu untuk menyalahkan keadaan-keadan yang kita hadapi? Dalam peperangan misalnya, apabila pihak kita kalah wajarkah untuk kita terus menyalahkan taktik-taktik kotor musuh yang mengalahkan kita? Atau kita sendiri yang perlu bermuhasabah, menyusun strategi demi strategi, lantas bertindak dengak lebih efektif untuk menghancurkan kekuatan musuh seterusnya menjadi juara dalam peperangan?

Kita mahasiswa, bukan budak sekolah tadika! Bertindaklah sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian tegas. Esok lusa, mahasiwalah yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan negara. Kalau kita rela dengan proses kemandoman yang berlaku atas diri kita, sampai bila-bilalah kita menjadi manusia yang mandom. Walaupun pahit untuk diterima, catitlah dalam diari hidup kita hari ini bahawa mahasiswa Kuis telah berjaya dimandomkan oleh pihak yang berkepentingan peribadi. Tetapi saya mahu ingatkan diri saya dan anda semua, masih belum terlambat untuk kita mengembalikan diri kita sebagai mahasiswa yang punya harga diri.

Malam ini Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) sesi 09 bakal berkuasa. Semoga yang diberi amanah menjalankan amanah sebaiknya. Ikhlaskan hati, usahlah sibuk mengejar populariti. Mahu atau tidak, MPM perlu berdepan antara dua realiti; Usaha-usaha JPM memandomakan mahasiswa Kuis dan mahasiswa Kuis yang selesa untuk dimandomkan.

1 comment:

Anonymous said...

(",)