Thursday, December 10, 2009

Andai ramai seperti mereka?




10 Disember bersamaan hari Khamis, Dataran 1st Cafe Kuis menjadi saksi pembubaran secara rasmi Gerakan Mahasisw Sedar (GMS) dalam pembawaan isu yuran. Tahniah saya ucapkan kepada GMS yang telah melakar sejarah, membuktikan dengan iltizam bahawa masih wujud kelompok mahasiswa yang berani menyatakan kebenaran, walau terpaksa menempuh pelbagai dugaan.

GMS tegar berdiri, disaat mahasiswa Kuis rela membiarkan diri dizalimi. Saya pasti, jika diberi pilihan di antara berada di meja belajar, menekuni khazanah ilmu yang perlu dikhadami ataupun berpencak di medan perjuangan, mengorbankan diri demi memastikan kebatilan menyembah bumi, maka pastinya memilih jalan mudah tanpa memikirkan soal kebajikan ummat menjadi pilihan kebanyakkan mahasiswa. Namun Alhamdulillah Kuis seharusnya berbangga masih punya mahasiswa yang berintegriti. Hidup mereka bukan atas kemaslahatan diri, bahkan untuk ummah yang lebih mereka cintai.

Pelbagai tohmahan dilemparkan, bermacam ugutan mereka hadapi. Soalnya, mulut-mulut yang mudah mencaci nista kewujudan GMS di bumi Kuis yang kononya dikatakan perosak imej baik Kuis, apakah kita sudah melakukan sesuatu dalam memastikan yang haq itu tertegak dan yang batil itu dihapuskan? Tepuk dada tanyalah iman?

Justeru, buat akhirnya untuk mahasiswa Kuis ayuh belajarlah sesuatu dari kehadiran GMS yang sebentar cuma. Ketahuilah bahawa mereka tidak pernah hadir untuk menimbulkan kucar kacir. Bahkan menuntun hak setiap dari mahasiswa yang terinaya tanpa memikirkan soal kepentingan hidup mereke. Andai ramai seperti mereka??

Thursday, November 26, 2009

Moga dipermudahkan





Bismillahirahmanirahim..


Salam aidil adha. Terasa kekok untuk saya menulis, setelah sekian lama saya biarkan blog ini 'bersawang' atau kalau analoginya bak kuih raya barangkali ianya sudah berkapang.

Kali terakhir saya mencatat sesuatu untuk blog ini, adalah sebelum beberapa hari saya menunaikan umrah pada bulan Ogos yang lalu. Selepas itu, entah kenapa beberapa kali percubaan saya untuk menulis menemui jalan buntu bahkan saya hampir-hampir menutup episod 'jalrastafisabilillah' ini.

Aidil adha menggamit memori indah saat Allah menjemput saya menjadi tetamuNya. Dua minggu Ramadhan terawal saya direzkikan dengan pemusafiran di Haramain. Suatu pekara yang saya sendiri tidak duga dengan beberapa limitasi kondisi saya ketika itu.

Allahuakbar!Allahuakbar!Seruan azan subuh bagaikan meraikan kehadiran saya di Madinah Al-Munawwarah. Saya biarkan titisan air mata mengiringi hening subuh itu. ''Masyaallah akhirnya Engkau izinkan untuk ku jejak bumi yang tersimpannya jasad RasulMu" Sungguh saya benar-benar terharu.

Makkatul Mukarramah menjadi destinasi seterusnya. Sukar sekali saya mempercayai bahawa Ka'bah yang menjadi kiblat sekalian ummat Islam berada di depan mata. Umrah yang sengaja saya lakukan seorang diri di bawah bahang terik mentari membuatkan saya terharu memikirkan betapa hebatnya iman para Nabi dan sahabat meredah pelbagai ujian yang tidak tergambar dek akal fikiran dalam memastikan keberlangsungan risalah dakwah yang menjadi amanah Allah terus mekar di persada dunia. Tingginya tawakkal Nabi Ibrahim saat meninggalkan isteri tercinta sebagai bukti cinta utamanya adalah buat Sang Pencipta yang tiada duanya. Setianya Siti Hajar menagih redha suaminya dalam menggapai redha Sang khaliq yang lebih utama.

Maha Suci Allah sungguh mereka sedang berbahagia di atas ketulusan dan keikhlasan pengorbanan mereka dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga begitulah hendaknya buat sekalian jemaah haji. Mudahan-mudahan kesungguhan dan keikhlasan mereka menempuh pelbagai ujian dalam melakukan ibadah haji bakal dijanjikan haji yang mabrur. Haji yang telah Allah janjikan dalam firman Nabi bahawa syurgalah balasannya.

Semoga Allah memudahkan pula perjalanan kita untuk melaksanakan ibadah haji suatu hari nanti. Jua hendaknya moga Allah izinkan untuk kita sujud di masjid AL Aqsa tercinta. Itu cita dan harapan saya dan pastinya kita perlu optimis seiring doa dan usaha dalam menggapai impian dan harapan! Moga dipermudahkan buat kita semua AMIN YA RABB!

Sunday, August 16, 2009

Arigato!teman-teman jihadku:)

14 Ogos 1986?
Entah kenapa sukar sekali saya mengingati 14 Ogos sebagai tarikh hari lahir saya. Seperti yang pernah saya khabarkan dalam antara entri terawal saya yang bertajuk "23 Tahun Hari-Hari Dalam Hidupku", hakikatnya saya lebih suka mengira umur saya mengikut tahun Hijri. Telah terbukti dari kaedah saintifiknya pengiraan dalam tahun Hijri atau bulan Islam lebih tepat berbanding tahun Masihi.


8 Zulhijjah 1406H?
Justeru seharusnya saya menyedari tanggal 8 Zulhijjah tahun ini umur saya bakal meningkat kepada 24 tahun. Saya mula rasa lebih dewasa. Kadang-kadang saya mohon maaf pada emak dan ayah tatkala memikirkan ketika usia begini saya masih lagi di bawah tanggungan mereka. Namun adakalanya saya rasa amat bersyukur dalam usia ini jugalah saya masih boleh menuntut ilmu tanpa memikirkan bebanan kerja-kerja di pejabat.

Kematian yang menghampiri
Masa makin pantas berlalu, sedetik bertambahnya usia semakin hampirlah ajal saya bertamu. Tiada yang lebih saya harapkan, moga syahid jadi jalan untuk saya bertemu Tuhan. Kalau yang suka bertanya tentang jodoh, biar saya katakan pernikahan atas dunia itu belum pasti bagi setiap insan, namun kematian itu suatu perkara wajib yang setiap dari kita perlu hadapinya. Oleh itu persediaan mana yang perlu diberi keutamaan? Bukanlah saya ini berhati batu tidak berperasaan.. Tapi pengalaman sudah cukup memberi pengajaran.

Terima kasih daun keladi, ada rezki buatlah lagi:)
Untuk akhirnya, terima kasih daun keladi buat sahabat-sahabat yang bersusah payah memainkan watak dalam menjayakan misi membuat dua kejutan besar. Juga pengirim-pengirim mesej yang memenuhi inbox saya. Mari kita berdoa agar hari-hari yang bakal kita lalui menjanjikan keredhaan Allah buat kita semua.

Di jalan dakwah kita berukhwah,
Bertemu berpisah kerana Allah,
Moga pertemuan abadi di syurgawi,
Menjanjikan pertemuan yang kekal abadi,
Salam semulia jihad!
Sayang antunna keranaAllah semata..

Monday, August 10, 2009

Dari alumni ALAM




Saya tidak pasti mengapa akhir-akhir ini pelbagai tohmahan suka dilemparkan kepada Kelab Al-azhar Members (ALAM). Tidak cukup dengan khabar angin, perkataan-perkataan biadab lagi melampau pula datang menyerang blog HAWA ALAM. Jujurnya saya kesali perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan terkutuk ini. Sepanjang pemerhatian saya, ia berlaku bagai dirancang. Oh!Itu sekadar hipotesis awal saya, jangan ada yang menuduh saya cuba mencipta provokasi jauh sekali meraih simpati.

Saya mahu berbicara atas kapasiti alumni ALAM. Ditengah-tengah kekalutan pihak-pihak tertentu yang cuba memburukkan ALAM, suka untuk saya ucapkan jutaan tahniah kepada saf kepimpinan ALAM terkini. Sungguh, saya melihat terlalu banyak perubahan yang lebih baik dan gerak kerja yang lebih konsisten telah dilakukan oleh pihak ALAM sekarang, dalam usaha mempertahankan biah solehah di bumi KUIS khususnya.

Semoga barisan kepimpinan ALAM terus berusaha mengerah keringat tanpa mengenal erti putus asa dalam memastikan keberlangsungan dakwah Islam terus subur di bumi KUIS.

Kepada mana-mana pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati terhadap gerak kerja yang dilakukan pihak ALAM, saya mencadangkan adalah lebih baik untuk anda tampil memberikan komentar dengan cara terhormat terhadap pimpinan ALAM, namun bukan dengan cara yang tidak bertanggungjawab ibarat orang membaling batu lalu menyorokkan tangannya.

Thursday, August 6, 2009

Pemuda Umno Jangan Dangkal




Pemuda Umno dinasihatkan agar tidak bersifat dangkal. Hal ini berikutan seruan Pemuda Umno yang meminta agar peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur membuat tindakan undang-undang terhadap Gerakan Mansuhkan ISA.

Realitinya perhimpunan mansuhkan ISA 1 Ogos yang lalu mampu memberikan peluang kepada para peniaga di Kuala Lumpur untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda memandangkan perhimpunan aman itu telah disertai lebih enam puluh ribu orang.

Namun amat malang sekali, perhimpunan itu bertukar menjadi kucar kacir hingga menyebabkan banyak kedai-kedai ditutup lantaran sikap pihak polis dan FRU yang tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Justeru, pihak mankah yang wajar diambil tindakan undang-undang? Gerakan Mansuhkan ISA yang mengadakan himpunan aman, atau pihak polis dan FRU yang mencipta huru-hara dalam himpunan aman tersebut?

Thursday, July 30, 2009

ISA KEJAM; LAWAN TETAP LAWAN!


Akta Keselamatan dalam Negeri ISA jelas telah melanggar hak kebebasan diri individu. Entiti mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (PMAI KUIS) sebulat suara menyokong pemansuhan akta rimba ini setelah hampir setengah abad ia diguna pakai dalam sebuah negara yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi.

Kita mencerca kezaliman rejim Israel di penjara Guantanamo. Kita hebahkan kekejaman tentera Yahudi terhadap saudara mara kita di bumi Palestin. Namun amat jelik sekali apabila kita sekadar menutup mata, menyaksikan penderitaan segelintir rakyat Malaysia yang dizalimi di bawah Akta ISA atas kerakusan pihak yang berkepentingan.

Apakah kita tidak malu, membiarkan seorang anak ‘diyatimkan’ dengan kebobrokan Akta ISA? Adakah kita tidak punya hati melihat kesengsaraan seorang isteri ‘dibalukan’ kerana kejahatan Akta ISA? Tiada perasaankah kita melihat penderaan diluar batas norma kemanusiaan diperlakukan terhadap tahanan-tahanan ISA? Atau kita masih mahu berpeluk tubuh, bagai orang bodoh membiarkan kezaliman terus melata di bumi Malaysia?

Justeru ayuh wahai insan yang masih punya hati dan perasaan, kita semarakkan himpunan 1 Ogos 2009 sebagai sebahagian dari usaha kita bagi memastikan akta zalim ini terus dihapuskan. Kembalikan hak tahanan.Ya! kalau benar mereka bersalah sila bicarakan mengikut lunas undang-undang, bukan menyumbat mereka dalam tahanan tanpa ruang perbicaraan. ISA kejam, lawan tetap lawan!

Sunday, June 21, 2009

Tribut buat ayahandaku

Semasa saya kecil dahulu ayah pernah menguji saya,sayang emak lebih atau ayah? Saya jawab dua-dua. Lalu ayah tanya, banyak mana sayang itu? Jawab saya berjuta-jata lemon. Ayah dakap saya sambil tertawa dengan jawapan yang saya berikan.

Suatu hari ketika saya masih berada di bangku sekolah rendah ayah minta saya buatkan air teh untuk emak dan ayah. Saya berikan tiga cawan untuk emak, dan satu cawan buat ayah. Tanpa rasa serba salah saya khabarkan apa yang diajar oleh guru saya. Bahawa Nabi minta untuk menyayangi emak tiga kali ganda berbanding ayah. Emak dan ayah gelak bersama dengan tindakan saya, kemudian menerangkan dengan lebih jelas tentang hadith yang telah disamapaikan oleh guru saya.

Apabila saya sudah besar, saya pernah luahkan pada ayah kiranya melebihkan ibu berbanding ayah bukan perintah Rasulullah pasti saya akan menyayangi emak dan ayah sama rata. Ayah faham dan mengiyakan kata-kata saya.

Banyak minat saya menyamai minat ayah membaca, berkebun, bahkan hoki yang juga menjadi sukan kegemaran sewaktu saya berada di sekolah rendah turut saya warisi dari ayah. Orang selalu kata wajah saya juga mirip ayah. 'Anak ayah' ke saya ni.. ?:)

Apa yang pasti terlalu banyak jasa ayah yang tidak mungkin mampu untuk saya balasi. Tak terbilang, tak terhitung, dan tak tersebut. Saya banyak belajar erti ketabahan hidup dari insan bernama ayah. Ayah sudah tidak beribu sejak usianya baru mencecah empat tahun. Ayah benar-benar membesar dengan penuhh kesusahan.

Saya tak akan lupa apabila ayah mencabar untuk saya dan abang mencari duit sendiri untuk membiyai yuran PMR dan SPM. Kami ambil keputusan untuk menjual kurma, kismis, dan agar-agar di bazar Ramadhan. Alhamdulillah, kami berjaya membiyai yuran kami sendiri bahkan hasilnya lebih dari itu. Saya maklum, bukan ayah sengaja mahu susahkan anak-anaknya, tapi ayah mahu kami belajar hidup berdikari.

Love will never end.. Happy fathers day, thank you ayah..Love you so much!