Tuesday, March 31, 2009

Aduh Kasihan..



Al-Kisah sebuah negeri letaknya di utara semenanjung, namun paling selatan di antara tiga yang utara. Telah maklum akan rakyat jelata, sultannya bukanlah yang sebarang. Konon bijak sultannya akan undang-undang.

SelePAS purnama menampakkan cahayanya, makin bahagialah rakyat jelata akan bukan sebarang pula menteri besarnya. Punya agama, si bijaksana, mesra pula menyapa sekalian jelata, tiadalah dia sombong sifatnya.

Oh..alangkah amannya negeri itu..

Namun tiada siapa menyangka, amanya 10 purnama cuma. Berduka cita si rakyat jelata. Tangan-tangan busuk memperorak perandakan negeri mereka, kini berkuasa. Berkuasa tanpa rela sekalian jelata.

Aduh kasihan...

Kasihan hamba pada rakyatnya yang bermuram durja...

Kasihan lagi pada sultanya...kerana tidak senang akan marahnya rakyat jelata.

Lagi kasihan hamba kepada tangan-tangan busuk si perampas kuasa...kerana sangka mereka, merekalah yang paling berkuasa...kasihan...kerana mereka lupa Allah itu Maha Berkuasa..kasihan...kerana mereka lupa Allah sentiasa melihat kejahatan mereka..Kasihan...kerana mereka pasti akan menerima balasan yang sewajarnya atas kerja-kerja terlaknat mereka...

Aduh kasihan...


Tetepi hamba sedar, tiadalah guna kasihan hamba..kalau yang dikasihankan itu tiada mahu mengasihani diri mereka..

Wahai rakyat jelata yang masih bermuram durja..

Bersabarlah atas dugaan. Ambilah ibrah dari setiap kejadian..pesan hamba buat kalian, bila tiba saatnya nanti, gunakanlah tangan-tangan kalian untuk membuktikan bahawa kalian hakikatnya terinaya..Selamat mengkudungkan tangan-tangan busuk yang suka memperkosa keamanan negerimu wahai rakyat jelata..








Wednesday, March 11, 2009

Untukmu Teman

Aku mahu khabarkan padamu teman,

Kita ini tidak sempurna,

Aku mahu memberi tahumu teman,

Kita ini banyak kelemahan,

Aku mahu ceritakan padamu teman,

Kita ini saling memerlukan,

Teman,

Kita bertemu kerana Tuhan,

Kita berukhwah kerana Allah,

Bersabarlah bila ada yang tak menepati cita rasa,

Cantik itukan ada pada kesabaran,

Setialah berbaik sangka,

Walau hati sendiri terluka,

Berilah kemaafan pada setiap kesalahan,

Si pemaaf itukan disayangi Tuhan,

Teman aku mahu katakan,

Kerana Tuhan,

Kita saling memerlukan,

Nun jauh di hadapan,

Kita punya banyak lagi tugasan,

Salam semulia jihad,

Buat semua teman seperjuangan,

Moga Allah merahmati ukhwah ini,

Abadi hingga ke syurgawi,

Barangkali buat yang terakhir,

Kerana kematian menjadi rahsia,

Menjemput tak mengira masa,

Maafkanlah aku teman,

Kerana tidak mampu memberi kebaikan seperti kalian..






Tuesday, March 3, 2009

Imtihan yang realiti

Alhamdulillah,

Semalam saya selesai menduduki peperiksaan akhir semester. Terasa banyak sungguh pertolongan yang Allah hulurkan semasa peperiksaan berlangsung. Benarlah janji Allah, saya tidak ragu!

Saya teringat kenangan lalu, ketika saya berada di tingkatan empat saya pernah khabarkan kepada seorang sahabat saya untuk mendoakan kejayaan saya dalam imtihan yang bakal berlangsung. Saya luahkan kebimbangan saya tentang persediaan yang saya kira masih belum teratur rapi.

"Akak, kecil sungguh imtihan ini, berbanding imtihan kita di padang masyar." Saya terkedu dengankata-katanya. Segan saya dengan teguran dari seorang sahabat yang berpangkat adik. Saya akuinya. Syukur saya dipertemukan sahabat yang saling mengingatkan...

Ya! hakikat yang nyata, sebesar manapun imtihan yang kita hadapi di atas dunia ini, besar lagi imtihan kita di masyar sana. Ayuh apa lagi? Mari kita muhasabah diri, sejauh mana pula persediaan kita berdepan dengan suasana imtihan yang realiti di masyar nanti?

Tuesday, February 10, 2009

Perak Gaza ke-2?

"Perak Gaza ke-2" percaya atau tidak inilah tajuk yang dilaporkan sebuah akhbar di Jordan. Dunia sudah maklum, kezaliman telah berlaku di bumi Perak. Maaf, barangkali ada yang menyindir bahawa kupasan isu ini agak terlewat. Ya! Saya akui, memang ia disengajakan. Hakikatnya saya cuba meredakan kemarahan yang meluap-luap dalam diri agar hasil tulisan saya tidak beremosi, namun hingga kini kesabaran saya tidak mampu mengatasi. Sungguh! Saya semakin membenci kerajaan taghut Barisan Nasional!

Najib mungkin sahaja sedang asyik berangan bahawa kerusi PM bakal menjadi milik beliau dengan laluan yang mudah. Almaklumlah, kononya beliaulah orang yang berusaha keras menawan Perak. Jangan lupa Najib, kebenaran pasti tertegak, dan kebatilan yang kamu rancang bersama kumpulan kamu pasti akan hancur sebagaimana hancurnya tentera Abrahah!

Daulat Tuanku! Patik PASti, Tuanku hanya memandang patik sebelah mata. Budak hingusan yang tak perlu dilayan. Terpulanglah kepada Tuanku, patik sekadar mahu beriman kepada sabda Bagina Nabi yang lebih patik cintai. Moga tangan patik, menjadi saksi di hadapan Allah Ta'ala, bahawa patik pernah berusaha menolak kebatilan yang berlaku di negeri yang menjadi amanah buat Tuanku. Tuanku Sultan, Tuanku sepatunya lebih lagi memahami undang-undang berbanding patik yang masih bertatih mempelajarinya. Tuanku, timbangkanlah keputusan Tuanku di atas neraca iman tanpa dipengaruhi oleh ketagahutan kerajaan Barisan Nasianal.

Isu di Perak, menjadi ibrah buat kita semua. Komponen Pakatan Rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengahadapi sebarang permasalahan. Jangan mudah berputus asa, seiringlah melangkah dengan usaha yang berlipat ganda. Saya tentunya akan terus optimis bahawa Perak akan kembali ke tangan pemerintah yang berhak!

Ambil perhatian wahai kerajaan Barisan Nasional dan sekutu-sekutu kamu semua! Kalau Kedah juga cuba ditumbangkan dengan penipuan dan kelicikan, maka saksikanlah ribuan jiwa pemuda sedia menjadi galang gantinya. Jangan lupa, semangat jihad As-Syahid Ibrahim Libya sudah mendarah daging dalam diri setiap pemuda yang memburu kesyahidan!

Hancur!Hancur!hancur Barisan Nasional!

Tuesday, February 3, 2009

ma'a taufiq wa najah

Bismillah..
Terasa lama sudah saya tidak menyentuh keyboard. Sedar tak sedar, 'Final exam' semakin hampir. Saya tidak berminat menyentuh soal persediaan. Biarlah diri sendiri yang menjawabnya..masing-masing dah besarkan?

Hari ini saya banyak memuhasabah diri. Kata-kata pensyarah dalam kuliah tadi menyentuh hati. Saya sudah biasa menakungkan air mata dengan kalam yang disampaikan guru. Acapkali saya merasa kerdilnya diri berdepan dengan luasnya ilmu Allah Ta'ala. Tekadang rasa bimbang menyapa diri. Mungkinkah ilmu yang Allah takdirkan buat saya mendatangkan keberkatan dalam kehidupan? Atau..na'uzubillahiminalzalik menjadikan diri semakin tidak mengenali Tuhan.

Ya! ilmu itu rezeki. Saya mengakui kata-kata ustazah Farhah dalam kuliah Hadith tadi. Sunatullah menetapakan usaha membawa kejayaan. Namun, kejayaan tidak boleh dilihat dari aspek keputusan peperiksaan semata-mata. Jika tidak, kita bolehlah dikategorikan sebagai orang yang merelakan sistem 'exam oriented' ciptaan kebodohan barat berlaku dalam diri kita sendiri. Madah yang kita ambil tentunya boleh menjadi sebahagian dari tarbiah dalam kehidupan sekiranya niat kerana Allah menjadi keutamaan.

Tadi juga saya sempat bertemu Ustaz Misbah, bertanyakan beberapa masalah hukum dan mengambil beberapa pandangan dari Al-fadhil ustaz. Di akhir pertemuan, ustaz berpesan pada saya, kefahaman ilmu itu anugerah Allah, yang penting usaha kita mencapai kearah itu. "Alhumma Faqihna fi din wa 'alimna ta'wil"

Dengan yuran Kuis yang menyeksa diri, saya tidak pasti bolehkah saya mengambil peperiksaan akhir nanti. Sudah ramai yang bertanya pada saya tentang pembayaran yuran. Jawapan saya mudah."Jangan tengok lagi, nanti sakit kepala tak boleh belajar". Biarlah dahulu, buat masa ini saya mahu menjadi orang yang asyik dan masyuk menuntut ilmu. Yuran bukan persoalan. Saya masih dalam proses meningkatkan keyakinan bahawa tidak akan fakir buat mereka yang menuntut ilmu.

Namun saya tidak boleh menipu diri, adakalanya hati ini asyik sahaja berbolak balik. Ada masa-masa tertentu, perasaan mahu berhenti belajar di Kuis atas faktor kewangan sering bermain dalam fikiran. Andai kata belajar di Yaman yang tidak memerlukan kos yang tinggi itu tidak memerlukan untuk saya membawa mahram, mungkin sahaja saya tidak berada di Kuis lagi."Ya Ilahi Rabbi, mudahkanlah diri ini utuk terus tegar menimba ilmu Mu..."

Untuk semua warga Kuis salam jihad di medan peperiksaan. Moga najah dalam keredhaan Tuhan menjadi milik kita semua. Ingatlah nilaian ilmu itu bukan habis di atas kertas peperiksaan semata, bahkan ia turut menuntut kita untuk menggunakannya buat kepentingan Islam tercinta.

Thursday, January 15, 2009

Salam Semulia Jihad

Salam Semulia Jihad,
Demo Kuis
Hari ini mahasiswa Kuis turun berdemonstrasi. Saya ucapkan tahniah kepada Al-Azhar Members (ALAM) selaku pihak penganjur demonstrasi bagi membantah kezaliman yang berlaku ke atas ummat Islam di Palestin. Namun, jauh di sudut hati saya tetap menyesali dengan sambutan yang masih belum boleh dikira memuaskan. Dari lebih lima ribu pelajar Kuis, kenapa hanya sejumlah itu sahaja yang turun berdemo? Dari ratusan pensyarah dan pekerja di Kuis ini, mengapa hanya beberapa orang sahaja yang turun berdemonstrasi?..Atau saya yang masih belum pandai untuk berbaik sangka? Ya! barangkali mereka punya kerja yang menuntut untuk mereka tidak sama-sama berdemonstrasi.

Masalah diri
Akhir-akhir ini, ramai orang sekeliling saya mula menegur. Kenapa saya sentiasa ceria, senyum dan senyum macam orang tidak pernah ada masalah. Lalu saya jawab dengan meneruskan senyuman. Mereka jadi keliru. Saya diam, dan saya paham bahawa mereka belum cukup memahami saya.

Teman yang memahami
Lalu takdir Allah memberi tahu bahawa teman-teman seperjuanganlah yang paling mengenali dan memahami saya. Mereka tahu bila saya terlalu banyak senyum, itu tanda saya sedang berdepan dengan pelbagai ujian. Mereka mula sibuk merungkai rahsia-rahsia yang saya pendam. Agak sukar untuk saya meluahkan, 'saya seorang pemendam tapi tak perlu risau kerana saya bukan pendendam.'

Kenapa senyum?
Kenapa saya senyum? Sebab saya selalu memikir dan memperlekeh diri betapa lemahnya jiwa, diuji dengan pekara kecil sudah terasa beban hidup yang besar, lalu iman saya mula membandingkan masalah-masalah kecil dan remeh yang asyik saya pikirkan, sedang banyak lagi pekara-pekara penting yang perlu saya beri fokus untuk kepentingan Islam yang saya cintai. Saya teruskan senyuman walaupun hati memendam kepahitan, mudah-mudahan ada pahala disisi Tuhan. Mungkin juga Allah mahu saya banyakkan sedekah dengan senyuman, maklumlah kekontangan wang membayar yuran. Maaf teman, bukan tidak mahu berkongsi segala kedukaan perasaan, tetapi cukuplah doa kalian sebagai penguat semangat perjuangan.

Undilah PAS
Esok, pilihan raya kecil di Kuala Terengganu bakal berlangsung, doa dan harapan moga Allah memudahkan kemenengan kepada yang mahu memperjuangkan agamaNya. Undilah Hj Mohd Abdul wahid Bin Endut, dari Parti islam Se Malaysia (PAS) dalam usaha kita mengurangkan satu lagi kerusi kezaliman kerajaan Barisan Nasional di Parlimen Malaysia.

Berangan
Oh ya! saya mula berangan, kalau BFK 8701 saya itu mampu sampai ke Terengganu, tentu sekarang saya sudah dalam perjalanan ke sana. Kalau BFK 8701 itu juga yang mampu membawa saya ke Palestin, akan saya ucapkan selamat tinggal kepada semua. Untuk jiwaku dan jiwamu salam perjuangan fi sabililllah!

Tuesday, January 13, 2009

Antara Dua Realiti; Pemandom Dan Yang Dimandomkan

17 Muharram 1430H bersamaan hari Rabu, hari ini mahasiswa Kuis keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ke-11. Hambar dan lesu, itulah perkataan terbaik untuk saya gambarkan susana PRK Kuis kali ini. Inilah kali pertama saya sebagai mahasiswa Kuis, menyaksikan PRK yang hanya mempertandingkan kerusi umum sahaja tanpa sebarang kerusi fakulti. Hal ini memandangkan keseluruhan kerusi fakulti telah dimenangi oleh semua calon tanpa bertanding kerana tidak wujudnya sebarang persaingan.

Ya, saya akui sedikit terkejut dengan perkara ini, namun dengan bacaan saya terhadap suasana Kuis akhir-akhir ini, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan. Barangkali Kuis bangga mencatat sejarah PRK tersendiri. Sebagai mahasiswa, saya mahu kita semua membuka minda dengan lebih kritis memikirkan faktor terjadinya perkara seperti ini. Kita mahu salahkan siapa dalam hal ini? Kemandoman mahasiswa, atau keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa dalam usaha memandomkan mahasiswa Kuis?

Dari kaca mata seorang mahasiswa yang celik minda dan cakna suasana, kita tidak lagi dapat menafikan perkara ini banyak berpunca dari keberjayaan pihak pentadbiran mahasiswa Kuis dalam usaha memandomkan mahasiswa. Pelbagai bukti kukuh dalam mengenepikan hak-hak mahasiswa telah diperlihatkan pihak pentadbiran mahasiswa di Kuis. Mahasiswa diperbodoh seakan 'lembu dicucuk hidungnya', hitam kata Jabatan Perosak Mahasiswa (JPM), hitamlah jawab mahasiswa Kuis.

Tetapi sampai bila kita perlu untuk menyalahkan keadaan-keadan yang kita hadapi? Dalam peperangan misalnya, apabila pihak kita kalah wajarkah untuk kita terus menyalahkan taktik-taktik kotor musuh yang mengalahkan kita? Atau kita sendiri yang perlu bermuhasabah, menyusun strategi demi strategi, lantas bertindak dengak lebih efektif untuk menghancurkan kekuatan musuh seterusnya menjadi juara dalam peperangan?

Kita mahasiswa, bukan budak sekolah tadika! Bertindaklah sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian tegas. Esok lusa, mahasiwalah yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan negara. Kalau kita rela dengan proses kemandoman yang berlaku atas diri kita, sampai bila-bilalah kita menjadi manusia yang mandom. Walaupun pahit untuk diterima, catitlah dalam diari hidup kita hari ini bahawa mahasiswa Kuis telah berjaya dimandomkan oleh pihak yang berkepentingan peribadi. Tetapi saya mahu ingatkan diri saya dan anda semua, masih belum terlambat untuk kita mengembalikan diri kita sebagai mahasiswa yang punya harga diri.

Malam ini Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) sesi 09 bakal berkuasa. Semoga yang diberi amanah menjalankan amanah sebaiknya. Ikhlaskan hati, usahlah sibuk mengejar populariti. Mahu atau tidak, MPM perlu berdepan antara dua realiti; Usaha-usaha JPM memandomakan mahasiswa Kuis dan mahasiswa Kuis yang selesa untuk dimandomkan.