Thursday, November 26, 2009

Moga dipermudahkan





Bismillahirahmanirahim..


Salam aidil adha. Terasa kekok untuk saya menulis, setelah sekian lama saya biarkan blog ini 'bersawang' atau kalau analoginya bak kuih raya barangkali ianya sudah berkapang.

Kali terakhir saya mencatat sesuatu untuk blog ini, adalah sebelum beberapa hari saya menunaikan umrah pada bulan Ogos yang lalu. Selepas itu, entah kenapa beberapa kali percubaan saya untuk menulis menemui jalan buntu bahkan saya hampir-hampir menutup episod 'jalrastafisabilillah' ini.

Aidil adha menggamit memori indah saat Allah menjemput saya menjadi tetamuNya. Dua minggu Ramadhan terawal saya direzkikan dengan pemusafiran di Haramain. Suatu pekara yang saya sendiri tidak duga dengan beberapa limitasi kondisi saya ketika itu.

Allahuakbar!Allahuakbar!Seruan azan subuh bagaikan meraikan kehadiran saya di Madinah Al-Munawwarah. Saya biarkan titisan air mata mengiringi hening subuh itu. ''Masyaallah akhirnya Engkau izinkan untuk ku jejak bumi yang tersimpannya jasad RasulMu" Sungguh saya benar-benar terharu.

Makkatul Mukarramah menjadi destinasi seterusnya. Sukar sekali saya mempercayai bahawa Ka'bah yang menjadi kiblat sekalian ummat Islam berada di depan mata. Umrah yang sengaja saya lakukan seorang diri di bawah bahang terik mentari membuatkan saya terharu memikirkan betapa hebatnya iman para Nabi dan sahabat meredah pelbagai ujian yang tidak tergambar dek akal fikiran dalam memastikan keberlangsungan risalah dakwah yang menjadi amanah Allah terus mekar di persada dunia. Tingginya tawakkal Nabi Ibrahim saat meninggalkan isteri tercinta sebagai bukti cinta utamanya adalah buat Sang Pencipta yang tiada duanya. Setianya Siti Hajar menagih redha suaminya dalam menggapai redha Sang khaliq yang lebih utama.

Maha Suci Allah sungguh mereka sedang berbahagia di atas ketulusan dan keikhlasan pengorbanan mereka dalam perjalanan menuju mardhatillah. Moga begitulah hendaknya buat sekalian jemaah haji. Mudahan-mudahan kesungguhan dan keikhlasan mereka menempuh pelbagai ujian dalam melakukan ibadah haji bakal dijanjikan haji yang mabrur. Haji yang telah Allah janjikan dalam firman Nabi bahawa syurgalah balasannya.

Semoga Allah memudahkan pula perjalanan kita untuk melaksanakan ibadah haji suatu hari nanti. Jua hendaknya moga Allah izinkan untuk kita sujud di masjid AL Aqsa tercinta. Itu cita dan harapan saya dan pastinya kita perlu optimis seiring doa dan usaha dalam menggapai impian dan harapan! Moga dipermudahkan buat kita semua AMIN YA RABB!

Sunday, August 16, 2009

Arigato!teman-teman jihadku:)

14 Ogos 1986?
Entah kenapa sukar sekali saya mengingati 14 Ogos sebagai tarikh hari lahir saya. Seperti yang pernah saya khabarkan dalam antara entri terawal saya yang bertajuk "23 Tahun Hari-Hari Dalam Hidupku", hakikatnya saya lebih suka mengira umur saya mengikut tahun Hijri. Telah terbukti dari kaedah saintifiknya pengiraan dalam tahun Hijri atau bulan Islam lebih tepat berbanding tahun Masihi.


8 Zulhijjah 1406H?
Justeru seharusnya saya menyedari tanggal 8 Zulhijjah tahun ini umur saya bakal meningkat kepada 24 tahun. Saya mula rasa lebih dewasa. Kadang-kadang saya mohon maaf pada emak dan ayah tatkala memikirkan ketika usia begini saya masih lagi di bawah tanggungan mereka. Namun adakalanya saya rasa amat bersyukur dalam usia ini jugalah saya masih boleh menuntut ilmu tanpa memikirkan bebanan kerja-kerja di pejabat.

Kematian yang menghampiri
Masa makin pantas berlalu, sedetik bertambahnya usia semakin hampirlah ajal saya bertamu. Tiada yang lebih saya harapkan, moga syahid jadi jalan untuk saya bertemu Tuhan. Kalau yang suka bertanya tentang jodoh, biar saya katakan pernikahan atas dunia itu belum pasti bagi setiap insan, namun kematian itu suatu perkara wajib yang setiap dari kita perlu hadapinya. Oleh itu persediaan mana yang perlu diberi keutamaan? Bukanlah saya ini berhati batu tidak berperasaan.. Tapi pengalaman sudah cukup memberi pengajaran.

Terima kasih daun keladi, ada rezki buatlah lagi:)
Untuk akhirnya, terima kasih daun keladi buat sahabat-sahabat yang bersusah payah memainkan watak dalam menjayakan misi membuat dua kejutan besar. Juga pengirim-pengirim mesej yang memenuhi inbox saya. Mari kita berdoa agar hari-hari yang bakal kita lalui menjanjikan keredhaan Allah buat kita semua.

Di jalan dakwah kita berukhwah,
Bertemu berpisah kerana Allah,
Moga pertemuan abadi di syurgawi,
Menjanjikan pertemuan yang kekal abadi,
Salam semulia jihad!
Sayang antunna keranaAllah semata..

Monday, August 10, 2009

Dari alumni ALAM




Saya tidak pasti mengapa akhir-akhir ini pelbagai tohmahan suka dilemparkan kepada Kelab Al-azhar Members (ALAM). Tidak cukup dengan khabar angin, perkataan-perkataan biadab lagi melampau pula datang menyerang blog HAWA ALAM. Jujurnya saya kesali perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan terkutuk ini. Sepanjang pemerhatian saya, ia berlaku bagai dirancang. Oh!Itu sekadar hipotesis awal saya, jangan ada yang menuduh saya cuba mencipta provokasi jauh sekali meraih simpati.

Saya mahu berbicara atas kapasiti alumni ALAM. Ditengah-tengah kekalutan pihak-pihak tertentu yang cuba memburukkan ALAM, suka untuk saya ucapkan jutaan tahniah kepada saf kepimpinan ALAM terkini. Sungguh, saya melihat terlalu banyak perubahan yang lebih baik dan gerak kerja yang lebih konsisten telah dilakukan oleh pihak ALAM sekarang, dalam usaha mempertahankan biah solehah di bumi KUIS khususnya.

Semoga barisan kepimpinan ALAM terus berusaha mengerah keringat tanpa mengenal erti putus asa dalam memastikan keberlangsungan dakwah Islam terus subur di bumi KUIS.

Kepada mana-mana pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati terhadap gerak kerja yang dilakukan pihak ALAM, saya mencadangkan adalah lebih baik untuk anda tampil memberikan komentar dengan cara terhormat terhadap pimpinan ALAM, namun bukan dengan cara yang tidak bertanggungjawab ibarat orang membaling batu lalu menyorokkan tangannya.

Thursday, August 6, 2009

Pemuda Umno Jangan Dangkal




Pemuda Umno dinasihatkan agar tidak bersifat dangkal. Hal ini berikutan seruan Pemuda Umno yang meminta agar peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur membuat tindakan undang-undang terhadap Gerakan Mansuhkan ISA.

Realitinya perhimpunan mansuhkan ISA 1 Ogos yang lalu mampu memberikan peluang kepada para peniaga di Kuala Lumpur untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda memandangkan perhimpunan aman itu telah disertai lebih enam puluh ribu orang.

Namun amat malang sekali, perhimpunan itu bertukar menjadi kucar kacir hingga menyebabkan banyak kedai-kedai ditutup lantaran sikap pihak polis dan FRU yang tidak profesional dalam menjalankan tugas.

Justeru, pihak mankah yang wajar diambil tindakan undang-undang? Gerakan Mansuhkan ISA yang mengadakan himpunan aman, atau pihak polis dan FRU yang mencipta huru-hara dalam himpunan aman tersebut?

Thursday, July 30, 2009

ISA KEJAM; LAWAN TETAP LAWAN!


Akta Keselamatan dalam Negeri ISA jelas telah melanggar hak kebebasan diri individu. Entiti mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (PMAI KUIS) sebulat suara menyokong pemansuhan akta rimba ini setelah hampir setengah abad ia diguna pakai dalam sebuah negara yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi.

Kita mencerca kezaliman rejim Israel di penjara Guantanamo. Kita hebahkan kekejaman tentera Yahudi terhadap saudara mara kita di bumi Palestin. Namun amat jelik sekali apabila kita sekadar menutup mata, menyaksikan penderitaan segelintir rakyat Malaysia yang dizalimi di bawah Akta ISA atas kerakusan pihak yang berkepentingan.

Apakah kita tidak malu, membiarkan seorang anak ‘diyatimkan’ dengan kebobrokan Akta ISA? Adakah kita tidak punya hati melihat kesengsaraan seorang isteri ‘dibalukan’ kerana kejahatan Akta ISA? Tiada perasaankah kita melihat penderaan diluar batas norma kemanusiaan diperlakukan terhadap tahanan-tahanan ISA? Atau kita masih mahu berpeluk tubuh, bagai orang bodoh membiarkan kezaliman terus melata di bumi Malaysia?

Justeru ayuh wahai insan yang masih punya hati dan perasaan, kita semarakkan himpunan 1 Ogos 2009 sebagai sebahagian dari usaha kita bagi memastikan akta zalim ini terus dihapuskan. Kembalikan hak tahanan.Ya! kalau benar mereka bersalah sila bicarakan mengikut lunas undang-undang, bukan menyumbat mereka dalam tahanan tanpa ruang perbicaraan. ISA kejam, lawan tetap lawan!

Sunday, June 21, 2009

Tribut buat ayahandaku

Semasa saya kecil dahulu ayah pernah menguji saya,sayang emak lebih atau ayah? Saya jawab dua-dua. Lalu ayah tanya, banyak mana sayang itu? Jawab saya berjuta-jata lemon. Ayah dakap saya sambil tertawa dengan jawapan yang saya berikan.

Suatu hari ketika saya masih berada di bangku sekolah rendah ayah minta saya buatkan air teh untuk emak dan ayah. Saya berikan tiga cawan untuk emak, dan satu cawan buat ayah. Tanpa rasa serba salah saya khabarkan apa yang diajar oleh guru saya. Bahawa Nabi minta untuk menyayangi emak tiga kali ganda berbanding ayah. Emak dan ayah gelak bersama dengan tindakan saya, kemudian menerangkan dengan lebih jelas tentang hadith yang telah disamapaikan oleh guru saya.

Apabila saya sudah besar, saya pernah luahkan pada ayah kiranya melebihkan ibu berbanding ayah bukan perintah Rasulullah pasti saya akan menyayangi emak dan ayah sama rata. Ayah faham dan mengiyakan kata-kata saya.

Banyak minat saya menyamai minat ayah membaca, berkebun, bahkan hoki yang juga menjadi sukan kegemaran sewaktu saya berada di sekolah rendah turut saya warisi dari ayah. Orang selalu kata wajah saya juga mirip ayah. 'Anak ayah' ke saya ni.. ?:)

Apa yang pasti terlalu banyak jasa ayah yang tidak mungkin mampu untuk saya balasi. Tak terbilang, tak terhitung, dan tak tersebut. Saya banyak belajar erti ketabahan hidup dari insan bernama ayah. Ayah sudah tidak beribu sejak usianya baru mencecah empat tahun. Ayah benar-benar membesar dengan penuhh kesusahan.

Saya tak akan lupa apabila ayah mencabar untuk saya dan abang mencari duit sendiri untuk membiyai yuran PMR dan SPM. Kami ambil keputusan untuk menjual kurma, kismis, dan agar-agar di bazar Ramadhan. Alhamdulillah, kami berjaya membiyai yuran kami sendiri bahkan hasilnya lebih dari itu. Saya maklum, bukan ayah sengaja mahu susahkan anak-anaknya, tapi ayah mahu kami belajar hidup berdikari.

Love will never end.. Happy fathers day, thank you ayah..Love you so much!

Sunday, May 31, 2009

Berpelajaran Tidak Berpendidikan

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.

Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.
Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Apa maknanya itu?

Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!

S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan?

Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.

Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?

Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN

Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia.

Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.
Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?

Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.

Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

MEMPOLITIKKAN SEGALANYA

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.
Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.

Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya.

Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!

Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!

Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.
Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

DIALOG POLISI

Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.

Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Ia suatu pengalaman berharga.

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.
Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.

Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.

Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

SERANGAN SOCRATES

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.

Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.

“Apakah tujuan hidup ini?”

“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”

“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”
Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.

Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.

Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.

Tidakkah itu sejarah yang berulang?

Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.

Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.

SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK

Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008

sumber: saifulislam.com